editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa ekonomi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan Program Latihan Jahitan yang membabitkan kerjasama strategik antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), AfSM Sewtech Technology Academy dan Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (PERJATI).
Majlis menandatangani MoU berlangsung di Pejabat PERJATI di Perumahan Awam Desa Rejang, sekali gus menandakan komitmen bersama dalam memperkasa golongan OKU melalui latihan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan mampan.
MoU berkenaan telah dimeterai oleh Pengerusi YBK, Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBCare, Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman, Pengarah Urusan AfSM Sewtech Technology Academy, Datuk Asfarena Samion, serta Pengerusi PERJATI, Rosali Mat Nasir.

Program ini dirangka khusus untuk memberi latihan kemahiran jahitan kepada ahli OKU di bawah PERJATI serta komuniti Perumahan Awam Desa Rejang.
Melalui inisiatif ini, peserta bukan sahaja dilatih menghasilkan produk jahitan berkualiti, malah diberi peluang menjana pendapatan melalui pemasaran hasil produk mereka.
AfSM Sewtech Technology Academy akan memainkan peranan penting dalam menyediakan modul latihan komprehensif, tenaga pengajar berpengalaman serta kemudahan peralatan jahitan.
Selain itu, institusi terbabit turut memberi bimbingan dalam aspek pengeluaran dan pengkomersialan produk bagi memastikan peserta mampu bersaing dalam pasaran sebenar.
Sementara itu, YBK bertindak sebagai penyelaras utama program, manakala YBCare dan PERJATI memberi tumpuan kepada penyelarasan komuniti, kebajikan peserta serta promosi produk yang dihasilkan oleh golongan OKU.
Dalam ucapannya, Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman berkata, program ini bukan sekadar memberi kemahiran asas, malah bertujuan meningkatkan keupayaan peserta untuk mencapai tahap pendapatan lebih tinggi.
“Pendekatan latihan berterusan dan peningkatan kemahiran atau “upskilling” amat penting selaras dengan usaha negara memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
“Ramai dalam kalangan peserta, khususnya golongan berusia, sebenarnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang jahitan namun tidak diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Justeru, program ini menjadi platform untuk mengiktiraf kemahiran sedia ada serta mempertingkatkan nilai komersial hasil kerja mereka.
Tambahnya lagi, inisiatif itu juga membuka ruang kepada penggunaan bahan kitar semula seperti pakaian terpakai untuk dijadikan produk baharu yang bernilai, sekali gus menyokong konsep ekonomi lestari dan menjana pendapatan tambahan kepada peserta.
Program latihan ini akan dilaksanakan sepenuhnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur dan dijangka memberi manfaat kepada komuniti OKU setempat, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Haji Ismail Shaari, tokoh aktivis OKU Malaysia, Mohd Faiz Shuhaimi, Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, serta barisan pegawai daripada YBK, YBCare dan ahli PERJATI.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi OKU melalui latihan kemahiran yang bersifat inklusif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya saing.

