28.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

‘Warna Warni Hari Raya’ Ushera angkat manifesto perpaduan, semarakkan Aidilfitri 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lirik, Ushera kembali menyemarakkan industri muzik tempatan dengan single raya terbaharu berjudul Warna Warni Hari Raya, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam produksi lagu Aidilfitri selepas kali terakhir tampil pada tahun 2021.

Sebelum ini, Ushera pernah mencuri perhatian menerusi lagu raya Suka Ria Raya pada 2017 dan kemudiannya Kembali pada 2021 yang membawa nuansa Ghazal Melayu tradisional.

Tahun ini, beliau tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi Warna Warni Hari Raya, sebuah karya yang diangkat sebagai manifesto perpaduan dan keberagaman masyarakat Malaysia dalam meraikan Aidilfitri tanpa batas.

Lagu itu menerima sentuhan kreatif Ushera sendiri sebagai penulis lirik, manakala penerbitan dan komposisinya digalas oleh Ganesh Bala yang berjaya menterjemahkan aspirasi karya itu menepati suasana bulan Syawal.

Mengangkat tema kemeriahan, persahabatan dan kepelbagaian budaya, lagu ini menonjolkan gambaran sambutan raya di kampung, berbusana baharu serta keindahan tradisi yang diraikan bersama.

Menurut Ushera, lirik yang dihasilkan bersifat bersahaja dan mudah diingati agar dekat di hati pendengar pelbagai generasi, namun tetap mengekalkan sentuhan melodi malar segar yang mampu menyentuh emosi.

“Karya ini bukan bertujuan bersaing, sebaliknya mahu menjadi sebahagian daripada kebangkitan semula lagu raya yang kini semakin pelbagai genre dan diterima baik oleh Masyarakat,” katanya.

Manifesto keberagaman yang menjadi tunjang Warna Warni Hari Raya turut diterjemahkan menerusi pembabitan tenaga kerja pelbagai bangsa dalam pembikinan muzik video.

Penggambaran yang berlangsung pada 2 Januari lalu diarahkan oleh Arnaud Blondel sebagai Pengarah Video dan Fotografi, menampilkan visual penuh warna yang menggambarkan suasana Aidilfitri yang inklusif dan harmoni.

Bagi melengkapkan konsep visual, Ushera turut berkolaborasi dengan pereka busana terkenal, Syomir Izwa Gupta, yang menyerlahkan identiti moden berbalut retro sinonim dengan imejnya selama ini.

Kolaborasi itu menjadikan keseluruhan persembahan visual dan muzik terasa lebih hidup serta autentik.

Muzik video rasmi Warna Warni Hari Raya mula ditayangkan di YouTube pada 16 Februari jam 8.30 malam, manakala lagu ini turut boleh distrim di platform digital seperti Spotify dan Apple Music bermula tarikh yang sama.

Sebagai rekod, Ushera sebelum ini pernah melancarkan album Semalam Di Malaya pada 2016 yang memuatkan lagu seperti Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata, semuanya dipersembahkan dalam gaya asli yang menjadi identiti tersendiri beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular