editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya dalam pemartabatan ilmu dan warisan negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan institusi pendidikan tinggi dan agensi pemeliharaan rekod negara, khususnya dalam bidang penyelidikan, pendokumentasian serta pembangunan ilmu berkaitan sejarah dan warisan Malaysia.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis menandatangani MoU itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen bersama kedua-dua institusi dalam memelihara khazanah sejarah dan identiti negara untuk generasi akan datang.

“Sebagai universiti pendidikan tertua di Malaysia, UPSI memainkan peranan penting dalam melahirkan pendidik, penyelidik dan pemimpin pemikiran yang memiliki jati diri kukuh serta kefahaman mendalam terhadap sejarah dan warisan negara.
“Justeru, kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia amat signifikan memandangkan ANM merupakan badan utama negara dalam pemeliharaan, pendokumentasian dan penyelidikan rekod serta bahan arkib bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif ini selari dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju kebitaraan pendidikan di peringkat serantau, di samping memperkukuh ekosistem penyelidikan berasaskan ilmu dan warisan.
Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan melengkapi kepakaran serta sumber sedia ada menerusi pelbagai kolaborasi strategik, khususnya dalam penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkaitan sejarah, arkib dan warisan negara.

Kerjasama itu turut merangkumi penganjuran program akademik seperti seminar, bengkel dan latihan profesional, selain membuka peluang kepada pelajar UPSI menjalani latihan industri di Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa, malah membantu melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran bidang arkib dan warisan.
Dr. Md Amin turut berharap agar perjanjian yang dimeterai tidak terhenti sebagai dokumen rasmi semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi secara berterusan.

Beliau menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya di daerah Muallim, mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara dan menghargai warisan sejarah negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor menyifatkan jalinan kerjasama ini sebagai kesinambungan hubungan strategik yang telah terjalin antara ANM dan UPSI sejak tahun 2014.
“Kolaborasi ini adalah lanjutan daripada MoU terdahulu yang berkuat kuasa bagi tempoh 2017 hingga 2020, sekali gus memperkukuh lagi hubungan institusi secara lebih menyeluruh.
“Idea untuk memperbaharui kerjasama ini tercetus hasil kesedaran bersama bahawa sinergi antara kedua-dua pihak mampu memberi manfaat besar kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan bahan arkib,” katanya.

Melalui MoU ini, ANM dan UPSI bukan sahaja memperkasa perkongsian kepakaran, malah merancang pelaksanaan projek pendigitalan bahan arkib serta strategi promosi menerusi penghasilan kandungan kreatif bagi meningkatkan akses masyarakat terhadap dokumen sejarah negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) Arkib Negara Malaysia, Shahlin Ali, serta Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.
Pemeteraian MoU antara UPSI dan Arkib Negara Malaysia ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pemeliharaan warisan sejarah negara secara lebih sistematik dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan penyelidikan yang mampan serta pemerkasaan identiti nasional.

