editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pengarah prolifik tanah air, Shahrul Ezad Mohammedin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat, kembali ‘menekan’ emosi penonton menerusi karya terbaharunya berjudul Sujud Terakhir Encik Norman (STEN), yang pantas mencuri perhatian netizen sejak teaser drama itu dikongsikan di pelbagai platform media sosial.
Drama bersiri yang bakal memulakan siaran perdana pada 4 Februari ini sudah menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat drama tempatan, bukan sahaja kerana nama besar Budak Ijat di kerusi pengarah, tetapi juga disebabkan pendekatan penceritaan yang berani dan luar jangka.
Perhatian ramai turut tertumpu kepada barisan pelakon utama seperti Sharifah Sakinah, Aidil Aziz dan Trisha Ooi, yang berjaya mencetuskan rasa ingin tahu menerusi beberapa babak mencengkam yang tular.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah aksi watak Emma lakonan Sharifah Sakinah, apabila dilihat memegang dan menggunakan bazooka dalam satu adegan dramatik.

Bazooka, yang secara asasnya adalah senjata pelancar roket yang diletakkan di bahu dan berupaya memusnahkan sasaran besar, menimbulkan persoalan dalam kalangan penonton.
Menerusi babak yang dikongsikan di media sosial, Emma dilihat memecut kenderaan bagi mengejar sebuah pesawat yang dinaiki suaminya, Norman lakonan Aidil Aziz, bersama Alisa yang dibawakan oleh Trisha Ooi, sebelum melepaskan tembakan menggunakan senjata itu.
Situasi ini sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kaitan senjata berat itu dengan jalan cerita Sujud Terakhir Encik Norman.
Menjawab persoalan itu, Budak Ijat berkata, elemen berkenaan bukan sekadar sensasi semata-mata, sebaliknya menyimpan maksud dan kejutan yang hanya akan terjawab apabila penonton mengikuti keseluruhan naskhah.

“Sama ada bazooka itu bersifat simbolik kepada kemarahan seorang wanita atau benar-benar digunakan dalam konteks realiti cerita, semuanya akan terungkai sepanjang penceritaan drama berkenaan yang sarat dengan kejutan dan pengajaran,” katanya.
Apa yang turut menarik perhatian ialah keberanian produksi STEN mengikuti peredaran zaman apabila mengaplikasikan sentuhan kecerdasan buatan atau kecerdasan pembuatan (AI) dalam penghasilan beberapa babak, termasuk adegan bazooka menembak pesawat.

Budak Ijat berkata, penggunaan AI bukan petanda karyawan kreatif ketandusan idea, sebaliknya mencerminkan keterbukaan industri terhadap teknologi baharu.
“Kolaborasi antara kreativiti manusia dan teknologi AI adalah satu ‘alat’ yang membantu merealisasikan idea dalam kekangan bajet, tanpa mengabaikan peranan pemikiran manusia sebagai teras utama sesebuah karya.
“AI hanya digerakkan oleh idea, manakala manusia kekal sebagai pencetus kepada naratif dan emosi dalam sesebuah produksi,” katanya lagi.

Diterbitkan oleh Radius One, Sujud Terakhir Encik Norman dijadualkan bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pada jam 9 malam di Astro Ria.
Drama ini turut boleh ditonton secara penstriman menerusi Astro GO dan Sooka.
Mengandungi 28 episod, STEN mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan serta pengorbanan, sekali gus menjanjikan sebuah naskhah yang bukan sahaja sarat emosi, malah relevan dengan realiti kehidupan semasa.


