editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad tidak muncul dalam drama bersiri televisyen, pelakon versatil Que Haidar akhirnya membuat kemunculan semula menerusi naskhah terbaharu berjudul Pak Su Ammara, sekali gus menamatkan penantian selama 16 tahun peminat setia yang merindui lakonannya di kaca televisyen.
Nama Que Haidar mungkin tidak seaktif barisan pelakon drama generasi masa kini, namun pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.
Berbekalkan pengalaman luas sejak awal tahun 2000-an, Que telah membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon berkualiti apabila meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello.

Kini berusia 46 tahun, Que Haidar telah menghidupkan pelbagai karakter sama ada di layar perak mahupun layar televisyen.
Namun, selepas sekian lama memilih untuk tidak terbabit dalam drama bersiri, pelakon itu akhirnya bersetuju menerima tawaran untuk kembali beraksi menerusi Pak Su Ammara, sebuah drama terbitan Global Station Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria.
Menurut Que, keputusan untuk kembali ke dunia drama bersiri bukan dibuat dengan mudah memandangkan kekangan masa dan intensiti penggambaran yang sering menjadi cabaran utama.
Katanya, faktor itu menyebabkan beliau sebelum ini merasakan sukar untuk menyelami dan menghayati sesuatu karakter dengan sepenuhnya.

Namun, pengalaman bekerjasama dengan pengarah Azri Izhar serta sokongan pasukan produksi yang positif telah mengubah persepsinya.
Que turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk membawakan watak Pak Su dan bergandingan dengan aktres terkenal Ummi Nazeera.
Jelasnya, kehadiran Ummi bukan sahaja menjadi tarikan utama untuk menerima tawaran berkenaan, malah banyak membantu dalam menjayakan watak yang dibawanya.
Selain itu, Que juga memuji komitmen barisan pelakon lain termasuk Dian P Ramlee serta pelakon cilik yang memegang watak Ammara, yang disifatkan memberikan persembahan meyakinkan.
Mengakui perasaan gementar ketika kembali ke set penggambaran drama bersiri selepas sekian lama, Que bagaimanapun menegaskan profesionalisme perlu diutamakan.
Beliau percaya suasana kerja yang dikelilingi individu berjiwa positif telah memberinya kekuatan dan keyakinan untuk memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran berlangsung.

Pak Su Ammara mengisahkan perjalanan hidup seorang guru prasekolah bernama Hamiza yang terperangkap dalam sebuah perkahwinan toksik.
Dalam keadaan hamil, Hamiza memilih untuk keluar daripada hubungan itu dan membina kehidupan baharu sebagai ibu tunggal.
Takdir menemukan Hamiza dengan Firdaus atau lebih dikenali sebagai Pak Su, yang juga bapa saudara kepada salah seorang muridnya, Ammara Rose.
Pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.
Drama bersiri 20 episod ini turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Syazwan Zulkifly dan Dian P Ramlee, dan dijadualkan mula bersiaran pada 5 Januari 2026 di saluran Astro Ria.

