30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

Siti Nurhaliza raikan 30 tahun seni menerusi Konsert Legacy di Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, bakal mengukir satu lagi detik bersejarah dalam landskap industri hiburan tanah air menerusi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert mega ini dijangka menghimpunkan puluhan ribu peminat dalam sebuah persembahan berskala besar yang meraikan perjalanan seni beliau sepanjang tiga dekad.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan sekadar sebuah persembahan pentas, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap legasi seni, dedikasi berterusan serta sokongan padu peminat, rakan industri dan keseluruhan ekosistem kreatif yang telah bersama-sama membina dan menyokong perjalanan seni beliau sejak kemunculan awal sebagai anak seni sehingga diangkat sebagai ikon seni negara.

Setelah membuktikan kejayaan menerusi beberapa siri konsert berskala besar sebelum ini, Legacy 30 Siti Nurhaliza bakal menggabungkan elemen muzik, penceritaan, visual dan emosi yang merangkumi keseluruhan fasa kerjaya beliau.

Persembahan ini dijangka membawa penonton menyusuri perjalanan seni Siti Nurhaliza, bermula daripada era awal kemunculan sehingga kematangan artistik yang membentuk identiti beliau hari ini.

Konsert ini akan menampilkan rangkaian lagu-lagu ikonik merentasi pelbagai era, disuntik dengan susunan muzik baharu, kolaborasi istimewa bersama barisan artis undangan serta produksi pentas mega yang mencerminkan penghargaan Siti Nurhaliza terhadap peminat setianya.

Setiap aspek persembahan dirancang dengan teliti bagi memastikan pengalaman konsert yang berkelas dan bermutu tinggi.

SN Legacy Sdn. Bhd. dan Radar Rezki (M) Sdn. Bhd., selaku penganjur bersama, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja utama, penaja sokongan, rakan strategik, artis undangan serta seluruh pasukan produksi, kreatif dan teknikal yang berganding bahu menjayakan penganjuran konsert berprestij ini.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan industri kreatif negara menerusi program Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI).

Sokongan berkenaan disifatkan sebagai pemangkin penting dalam merealisasikan penganjuran konsert berskala besar dan berimpak tinggi seperti Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Persiapan konsert ini dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci bagi memastikan setiap elemen persembahan mencapai tahap terbaik.

Aspek pemilihan lagu, rekaan pentas, pencahayaan, visual, busana serta susunan muzik diberi perhatian khusus agar konsert ini tampil sebagai sebuah persembahan ikonik yang akan dikenang dalam sejarah industri hiburan negara.

Menurut Siti Nurhaliza, konsert ini adalah tanda penghargaan ikhlas buat semua pihak yang telah menyokong perjalanan seninya selama 30 tahun.

Beliau turut meluahkan rasa syukur atas peluang bekerjasama dengan ramai penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik yang menjadi tonggak penting dalam pembinaan legasi seninya.

“Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebagai hadiah dari hati kepada peminat, rakan industri serta semua yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“konsert ini bukan sekadar meraikan pencapaian peribadi, sebaliknya merangkumi usaha kolektif dalam membina, menghargai dan mempertahankan seni serta budaya tempatan, di samping menjadi inspirasi kepada generasi seni akan datang,” katanya.

Konsert yang diadakan sehari sebelum ulang tahun kelahiran Siti Nurhaliza yang ke-47 ini akan menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai pengarah muzik, diiringi barisan pemuzik profesional.

Persembahan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Istana Budaya, dengan penampilan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Artistana Istana Budaya.

Sentuhan koreografi oleh Naim Syahrazad bersama penari Juxt Studio dijangka menambah keindahan visual persembahan.

Konsert ini dibawakan khas oleh CUCKOO, dengan Affin Bank sebagai penaja utama, serta sokongan tajaan daripada ZEEKR, HABIB, AirAsia dan SOGO.

Antara rakan penaja lain yang turut terbabit ialah Ombak Exclusive, Zai Sri Gemilang, Events Medical Support dan Hyatt Place.

Menambah keistimewaan konsert ini, Siti Nurhaliza akan bergandingan dengan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan yang bakal menyerikan lagi persembahan beliau.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 1 Oktober 2025 menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my dan penganjur menjangkakan kehadiran sehingga 60,000 penonton memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam bersejarah itu nanti.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular