28.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

DSTA Putrajaya dibuka Januari 2026, fokus pendidikan dan vokasional Sindrom Down

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Down Syndrome Thrive Academy (DSTA), sebuah pusat pembangunan pendidikan dan kemahiran khusus untuk individu sindrom Down, bakal memulakan operasi secara rasmi pada Januari 2026 sebagai peluasan strategik kepada pusat sedia ada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down Putrajaya (PPDKSD).

Penubuhan DSTA adalah kesinambungan kepada pusat PPDKSD di Presint 11 yang sebelum ini memfokuskan intervensi awal dan pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak sindrom Down berusia empat hingga enam tahun.

Di pusat terdahulu, penekanan diberikan kepada pembangunan motor halus dan kasar melalui terapi, sebelum pelajar bersedia untuk melangkah ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana.

Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Syndrom Down Putrajaya, Mohd Ruslan Wagiman berkata, DSTA diwujudkan bagi meneruskan rawatan, terapi serta pembangunan akademik dan kemahiran selepas pelajar tamat fasa prasekolah dan mengikuti pendidikan formal di PPKI.

“Berbeza dengan pusat prasekolah, DSTA memberi tumpuan kepada pembelajaran selepas waktu sekolah serta pembangunan remaja dan dewasa muda.

“Ia sekali gus melengkapkan laluan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berterusan.

“Pada peringkat awal, DSTA telah menerima pendaftaran seramai 20 orang pelatih, dengan sasaran peningkatan kepada 30 orang dalam masa terdekat.

“Jumlah ini dijangka bertambah apabila kemudahan pusat siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan latihan di pusat ini mematuhi garis panduan Jabatan Kemahiran Malaysia (DKM), dengan nisbah seorang petugas bagi setiap lima orang pelatih bagi memastikan latihan yang berkesan dan selamat.

“Selain pembelajaran asas, DSTA turut menekankan latihan vokasional sebagai persediaan ke arah kehidupan berdikari.

“Antara modul kemahiran yang dirancang termasuk latihan bakeri, anyaman, seni lukisan dan aktiviti berasaskan kemahiran tangan.

“Pendekatan ini bertujuan membolehkan pelatih membina keupayaan kendiri, menyumbang kepada komuniti dan tidak bergantung sepenuhnya kepada keluarga dalam jangka Panjang,” katanya.

Dalam membangunkan modul latihan, DSTA menerima sokongan berterusan daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia yang telah berpengalaman lebih 30 tahun dalam melaksanakan program vokasional.

Pihak pusat merancang untuk mengadaptasi silibus sedia ada yang terbukti berkesan, selaras dengan keperluan pelatih dan konteks setempat.

Dari sudut operasi, DSTA berfungsi sebagai pusat jagaan dan tidak menerima geran tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru, pengurusan pusat bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan sebanyak RM300 serta sumbangan daripada orang awam, ahli persatuan dan rakan korporat.

Isu kewangan kekal sebagai cabaran utama, mendorong pihak pengurusan untuk aktif menjalankan promosi melalui media sosial, penyertaan dalam acara komuniti serta penganjuran jualan amal bagi memastikan kelangsungan operasi.

Sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia 2025, DSTA Putrajaya telah menganjurkan Hari Terbuka pada 20 Disember 2025 di Chancery Place, Presint 15, Putrajaya.

Program ini merangkumi Taklimat Ibu Bapa, Majlis Graduasi pelajar PPDKSD serta pengenalan rasmi pembukaan DSTA kepada masyarakat dan pihak media.

Majlis berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 30 keluarga, sukarelawan serta komuniti setempat.

Sokongan turut diterima daripada sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus menjadikan Hari Terbuka ini sebagai platform pendedahan awal kepada peranan DSTA sebagai pusat komuniti inklusif di sekitar Putrajaya.

Antara tetamu kehormat yang dijemput menghadiri program ini termasuk Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YAPEIM serta kepimpinan Persatuan Sindrom Down Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular