31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026

Rombakan kabinet Kerajaan MADANI: 27 lantikan baharu perkukuh pasukan, fokus ekonomi dan kebajikan rakyat

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan seramai 27 individu dilantik serta pertukaran portfolio bagi jawatan menteri dan timbalan menteri, sebagai langkah memperkukuh fungsi Jemaah Menteri dalam mendepani cabaran semasa negara.

Menurut Anwar, rombakan berkenaan bertujuan memastikan Kabinet beroperasi sebagai satu pasukan yang mantap dan lebih berkesan, selain memberi penekanan khusus terhadap usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan isu dan keperluan rakyat.

Beliau berkata, keputusan membabitkan lantikan baharu dan penyusunan semula portfolio itu dibuat susulan beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri, di samping mengambil kira keperluan semasa bagi memperkasakan keupayaan Kabinet dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

“Seperti mana sudah sedia maklum, terdapat beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat penyesuaian agar Kabinet dapat berfungsi sebagai satu pasukan,” katanya pada pengumuman khas rombakan Kabinet, hari ini.

Anwar berkata, penstrukturan semula itu penting bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada agenda utama negara, termasuk memperkukuh ekonomi dan menangani pelbagai permasalahan rakyat secara lebih berkesan.

Semua menteri dan timbalan menteri yang terbabit dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI dijadualkan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah kerahsiaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara esok.

Perdana Menteri memaklumkan Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap kesemua 27 menteri dan timbalan menteri berkenaan sempena upacara angkat sumpah terbabit.

Selepas majlis berkenaan, mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan pada sebelah petang bagi membolehkan Kabinet baharu memulakan tugas serta menyelaraskan hala tuju pentadbiran.

“Upacara angkat sumpah yang diperkenankan oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung esok di Istana Negara, dan mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan pada jam 2.30 petang,” katanya.

Rombakan ini dilihat sebagai langkah strategik Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kestabilan pentadbiran serta memastikan agenda pembangunan negara terus dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular