31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

MYSpecialKid revolusi peranti VR untuk sokongan emosi anak istimewa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CMD Solutions Sdn Bhd terus memperkukuh inovasi teknologi kebajikan kanak-kanak istimewa dengan pelancaran MYSpecialKid, sebuah peranti multisensori berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan Realiti Maya (VR) yang direka khusus untuk menyokong keperluan murid autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Peranti berbentuk gogal VR ini bertindak sebagai alternatif yang lebih pintar, mudah alih dan berpatutan berbanding bilik multisensori fizikal yang lazimnya memerlukan ruang luas serta kos yang tinggi.

MYSpecialKid dibangunkan melalui kajian mendalam terhadap corak tingkah laku kanak-kanak autisme dan ADHD.

Dengan keupayaan AI yang terbina di dalamnya, peranti ini mampu mengenal pasti tahap tekanan atau kegelisahan kanak-kanak secara langsung.

Sistem berkenaan seterusnya mencadangkan rangsangan visual, audio atau elemen multisensori yang sesuai bagi menenangkan emosi mereka ketika berlaku tantrum atau ketidakstabilan emosi.

Selain itu, data yang direkodkan dapat membantu guru pendidikan khas, ahli terapi dan ibu bapa memahami keperluan setiap kanak-kanak dengan lebih baik, sekaligus memudahkan intervensi yang lebih berkesan.

CMD Solutions menzahirkan penghargaan kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Technology Depository Agency (TDA)dan Prasarana Malaysia Bhdatas pembiayaan projek ini melalui geran Industrial Collaboration Programme(ICP).

Menurut syarikat itu, bantuan kerajaan melalui ICP membuka peluang besar untuk mencipta teknologi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti pendidikan khas, khususnya dalam mengurangkan kebergantungan kepada bilik multisensori fizikal yang memerlukan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi.

Pengasas CMD Solutions, Bryan Lew, berkata, idea pembinaan MYSpecialKid lahir daripada pengalaman peribadi pada tahun 2019 yang menyentuh hati beliau.

Keinsafan itu mendorong beliau untuk memanfaatkan teknologi sedia ada bagi menghasilkan penyelesaian yang mampu menyokong perkembangan emosi dan sensori kanak-kanak istimewa.

“Melalui sokongan ICP, projek ini berjaya direalisasikan dan fasa pertama kini lengkap dibangunkan,” katanya.

Fasa pertama MYSpecialKid dilancarkan pada awal Januari 2025 dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2.

Dalam majlis itu, Kenneth Loh, pengasas bersama CMD Solutions, menyerahkan gogal VR AI MYSpecialKid kepada Guru Besar SK Taman Midah 2, Rosli Juhari.

Inisiatif ini adalah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) CMD Solutions yang bertujuan memberi manfaat kepada lebih 100 murid pendidikan khas di sekitar Lembah Klang dan bukan bertujuan komersial.

Pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Asdahrizam Alias, Pengurus ICP dari MRCB dan turut dihadiri oleh wakil-wakil MRCB serta TDA, selain murid-murid pendidikan khas SK Taman Midah 2 yang menjadi penerima manfaat utama program ini.

Pelancaran MYSpecialKid menandakan langkah penting dalam usaha merapatkan jurang teknologi dalam pendidikan khas, sekaligus menawarkan harapan baharu kepada kanak-kanak istimewa melalui penggunaan AI dan VR yang lebih inklusif, selamat dan berimpak positif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular