editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Filem aksi terbaharu yang dinanti-nantikan peminat tempatan, Banduan, bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 6 November ini.
Karya ini adalah adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India berjudul Kaithi (2019), namun diolah dengan sentuhan budaya dan citarasa tempatan yang segar.
Majlis tayangan perdana atau Malam Gala Banduan yang berlangsung malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pelakon ternama tanah air termasuk Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.
Lebih istimewa, majlis turut diserikan dengan kehadiran Karthi Sivakumar, bintang utama versi asal Kaithi, yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk meraikan pelancaran adaptasi Malaysia ini.
Filem Banduan mengisahkan Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas sepuluh tahun menjalani hukuman penjara.

Hasratnya hanya satu iaitu bertemu semula dengan anak perempuannya yang tidak pernah dikenalinya.
Namun, perjalanan yang sepatutnya menjadi titik mula kehidupan baharu itu berubah apabila Dali terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari untuk menyelamatkan sepasukan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng yang memburu dendam.
Walaupun berakar daripada jalan cerita asal Kaithi, versi Malaysia ini menampilkan latar yang lebih dekat di hati penonton tempatan.
Elemen budaya Malaysia disuntik dengan kemas dari hidangan ikonik seperti Nasi Dagang hingga ke penggunaan dialek dan lokasi penggambaran yang menonjolkan keunikan budaya tempatan.

Pendekatan ini menjadikan Banduan bukan sekadar adaptasi, tetapi satu penghormatan kepada keindahan identiti Malaysia.
Filem ini juga menandakan kemunculan semula Dato’ Aaron Aziz, yang dikenali sebagai Raja Aksi Malaysia.
Beliau sekali lagi membuktikan kredibiliti dan karisma luar biasa melalui babak pertarungan yang penuh tenaga dan realistik, sekaligus menambahkan daya tarikan kepada keseluruhan naskhah.
Banduan diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures serta Astro Shaw yang bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi.
Filem ini bukan sahaja ditayangkan di Malaysia, tetapi turut menemui penonton di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura secara serentak pada 6 November 2025.

Penerbit Eksekutif Filem Banduan, Kalyana Devan berkata, pemilihan Kaithi untuk diadaptasi dibuat kerana kekuatan jalan ceritanya yang bersifat universal dan menyentuh nilai kemanusiaan.
“Kami tertarik dengan tema kasih sayang, pengorbanan dan penebusan yang dibawa oleh filem asal.
“Dengan persamaan budaya antara penonton India dan Malaysia, kami yakin kisah ini sesuai untuk diterjemahkan ke dalam konteks tempatan.
“Banduan bukan sekadar filem aksi, tetapi kisah yang mampu mengusik emosi penonton dan menjadi jambatan yang menghubungkan industri perfileman kedua-dua negara,” katanya.

Menariknya, sebelum tayangan rasminya, Banduan telah mengadakan tayangan eksklusif di Kompleks Penjara Kajang pada 23 Oktober lalu yang disaksikan oleh 80 penghuni penjara.
Program terbabit turut menampilkan sesi perkongsian bertajuk “Peluang Kedua, Masih Ada Sinar”, yang disampaikan oleh pelakon utama filem ini sebagai simbol harapan dan inspirasi kepada golongan penghuni.

Filem Banduan bakal menemui penonton di semua pawagam utama seluruh negara bermula 6 November 2025.


