editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – “Setiap kali kita diam, buli menang”. Ungkapan itu menjadi teras kepada penganjuran Konsert KITA Suara Anti Buli 2025, sebuah inisiatif berimpak tinggi oleh Nusavue (www.nusavue.my) yang menyatukan barisan artis terkenal tanah air dalam satu perjuangan menentang budaya buli melalui kekuatan seni dan suara rakyat Malaysia.
Konsert yang bakal berlangsung pada 7 Disember 2025 (Ahad), jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur ini dijangka menjadi simbol solidariti nasional dalam menentang segala bentuk penindasan, sambil menyemai semangat kasih sayang, empati dan keberanian untuk bersuara.
Lebih daripada sekadar hiburan, Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 menjadikan muzik sebagai medium perubahan sosial yang mampu membangkitkan kesedaran dan memberi inspirasi.
Persembahan ini akan menggabungkan muzik berimpak tinggi, mesej berinspirasi dan pengisian interaktif, khususnya bagi menggalakkan keyakinan diri serta empati dalam kalangan masyarakat termasuk pelajar, keluarga dan komuniti.

“Buli bukan sekadar masalah sekolah, tetapi cerminan masyarakat. Kita mahu rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara,” kata wakil Nusavue, selaku penganjur utama konsert.
Menurut penganjur, isu buli kini bukan lagi terhad kepada persekitaran sekolah atau individu semata-mata, tetapi turut membabitkan komuniti, bangsa dan negara.
Dari media sosial hingga ke pentas antarabangsa, kuasa sering disalah guna untuk menindas yang lemah.
Melalui konsert ini, Nusavue menyeru rakyat Malaysia agar sedar bahawa menentang buli bermakna menentang kezaliman dalam apa jua bentuk sama ada di rumah, di sekolah mahupun di alam siber. Inilah semangat “KITA” suara yang melindungi, bukan menindas.

Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 bakal menampilkan gabungan nama-nama besar dan pelapis baru industri muzik tanah air, termasuklah Datuk Ramli Sarip x Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie dan undangan khas Liza Aziz.
Perpaduan rentas generasi dan genre ini melambangkan kekuatan seni sebagai jambatan penyatuan rakyat Malaysia dalam perjuangan melawan budaya buli.
Inisiatif ini turut menerima sokongan daripada pelbagai organisasi dan rakan strategik yang berkongsi semangat “Suara Anti Buli”, antaranya Yayasan Ikhlas, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Shah Alam, SULAM (Service Learning Malaysia–University for Society): DOKPANIC Special Edition, serta rakan media digital Gempak.

Turut menyokong ialah AQA, Right Balance Private, La Denta dan Mic Bocor Podcast.
Konsert ini bukan sekadar acara muzik, tetapi satu gerakan nasional untuk membina keberanian dan empati, menyeru masyarakat agar tidak berdiam diri terhadap ketidakadilan serta memperkukuh nilai kasih sayang dan hormat dalam komuniti.
Melalui kekuatan seni dan suara, Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 membawa mesej yang jelas perubahan bermula apabila kita berani bersuara.
Tiket bagi Konsert KITA Suara Anti Buli 2025 boleh didapati bermula 14 Oktober 2025 melalui platform rasmi:🔗 www.myticketempire.com🔗 www.nusavue.my