27.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 23, 2025

Selangor sasar RM20 bilion dari ekonomi kreatif menjelang 2035

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi kreatif negara menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25).

Majlis yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pemain industri kreatif di negeri ini, tetapi juga ruang strategik bagi sesi libat urus bersama agensi, syarikat, serta penggiat industri kreatif dari pelbagai bidang termasuk animasi, permainan digital, seni persembahan, warisan budaya dan kraf tempatan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor; Mohd Najwan Halimi berkata, program dimulakan dengan sesi town hall, pelancaran dan lawatan rasmi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ke reruai pameran.

Pada hari kedua, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor turut dijadualkan bagi menyerikan lagi majlis dan menyantuni usahawan kreatif yang hadir.

“Majlis ini menjadi pentas penting untuk memperkenalkan pelbagai pihak yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan, khususnya perusahaan kecil dalam sektor kreatif di peringkat akar umbi.

“Penganjuran ini turut merangkumi sesi pitching, forum, serta perbincangan mendalam tentang hala tuju ekonomi kreatif negeri,” katanya selepas pelancaran program, hari ini.

Lebih signifikan, program ini menjadi medan awal kepada pelancaran rasmi Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Kreatif Selangor yang dijadual berlangsung pada November 2025 bersempena dengan sidang Dewan Negeri Selangor.

Pelan ini digarap hasil kerjasama antara Unit Perancang Negeri (UPEN) dan Selangor Youth Community (SAY), serta membabitkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Daerah dan Tanah, serta agensi peringkat persekutuan termasuk MDEC, MyCreative Ventures dan SAIDEC.

“Perancangan ini telah melalui proses yang rapi selama hampir dua tahun termasuk sesi perbincangan fokus bersama pemain industri.

“Kita mahu pastikan dasar ini benar-benar mencerminkan keperluan sebenar penggiat ekonomi kreatif di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, pelan ini akan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Multimedia dan Digital, Seni dan Budaya dan Warisan Budaya.

Ketiga-tiga segmen ini akan diteliti secara menyeluruh agar dapat memberi impak secara langsung kepada pembangunan ekonomi kreatif di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan agar sektor ekonomi kreatif dapat menyumbang sehingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor menjelang tahun 2035, menjadikannya antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dalam dekad akan datang.

Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah meluluskan dana awal sebanyak RM80,000 untuk menyokong penggiat kreatif yang terpilih dalam sesi pitching.

Di samping itu, beberapa program latihan dan pemberdayaan keusahawanan akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, bagi meningkatkan kefahaman berkaitan pembangunan perniagaan serta strategi pasaran global.

“Fokus kita adalah untuk mendidik penggiat industri kreatif tentang realiti pasaran dan membantu mereka membawa produk tempatan ke pasaran eksport,” katanya.

Dana tambahan yang lebih signifikan dijangka diumumkan oleh Menteri Besar Selangor semasa pelancaran rasmi pelan tindakan ekonomi kreatif negeri pada bulan November nanti.

Kerajaan Negeri menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menjadikan ekonomi jingga sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.

Pelan tindakan yang bakal dilancarkan ini turut mengambil rujukan daripada Dasar Ekonomi Kreatif Kebangsaan, namun disesuaikan dengan keperluan dan kekuatan setempat Negeri Selangor.

“Ini bukan dasar jangka pendek. Ini adalah pelan 10 tahun. Kita mahu ekonomi kreatif menjadi antara pemacu utama pembangunan Selangor dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular