editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menyuntik kelainan dalam genre seram tempatan, filem terbaharu arahan Dr Ahmad Idham bertajuk Tembuni Berdarah tampil dengan naskhah yang mengangkat isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan, di samping mengetengahkan pertembungan ideologi antara generasi lama dan baharu dalam memahami amalan khurafat sebagai jalan pintas menuju kejayaan.
Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn. Bhd., Tembuni Berdarah dibarisi pelakon-pelakon hebat tanah air termasuk Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi serta Mia Nasir.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 September 2025.
Menurut pengarahnya, Dr Ahmad Idham, meskipun beliau telah menghasilkan pelbagai filem bergenre seram sebelum ini, permintaan penonton terhadap karya yang membawa nuansa seram seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak terus mendorongnya untuk kembali dengan formula yang serupa namun dengan pendekatan naratif yang lebih segar dan relevan dengan masa kini.

“Apa yang boleh saya katakan, Tembuni Berdarah memang mempunyai ‘vibes’ seperti kedua-dua filem itu.
“Bezanya, kali ini saya fokus kepada isu yang sedang berlaku dalam masyarakat, terutamanya dalam dunia kecantikan yang semakin terpengaruh dengan amalan syirik seperti susuk,” katanya pada Malam Gala dan Sidang Media filem berkenaan, baru-baru ini.
Idham berkata, fenomena mengejar kesempurnaan fizikal dalam kalangan masyarakat hari ini, khususnya wanita, menjadi inspirasi utama dalam pembangunan jalan cerita filem ini.
Menurutnya, kebergantungan terhadap teknologi kecantikan dan rawatan estetik, secara tidak langsung mencerminkan tekanan sosial untuk tampil sempurna sehingga ada yang tergelincir daripada landasan agama dan moral.

Dalam usaha mempertingkat pengalaman sinematik, Idham turut mengurangkan elemen dialog panjang dalam filem ini bagi memberi ruang kepada lebih banyak kejutan visual dan dramatik yang mampu mengikat perhatian penonton.
“Saya sedar bahawa masa tontonan kini semakin terhad, jadi saya kurangkan unsur drama yang terlalu banyak bicara.
“Sebaliknya, saya tingkatkan elemen kejutan dan ketegangan. Tembuni Berdarah masih membawa elemen ‘saka’ yang menjadi sinonim dalam filem seram Melayu, berbeza dengan filem seram Indonesia yang cenderung menonjolkan entiti seperti kuntilanak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Idham meluahkan rasa puas hati terhadap komitmen dan mutu lakonan pelakon, terutamanya Sophia Albarakbah selaku watak utama, yang menurutnya tampil berani dan keluar daripada zon selesa.
“Saya beri cabaran kepada Sophia untuk menjayakan lakonan yang lebih berani dan tidak bersih atau saya istilahkan sebagai ‘akting kotor’.
“Dia perlu bermain dengan darah, berlakon di kawasan kubur pada waktu malam dan melakonkan babak yang jauh daripada imej cantik semata-mata. Syukurlah, dia menyahut cabaran itu dengan cemerlang,” katanya.

Menariknya, Sophia yang juga pelajar bidang perubatan dan pernah bekerja di hospital, dikatakan tidak kekok apabila terpaksa melakonkan adegan menggunakan jarum, peralatan perubatan dan berinteraksi seperti seorang doktor sebenar.
Filem Tembuni Berdarah menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ketika bulan Ramadan tahun ini.
Sepanjang tempoh itu, kru produksi berdepan pelbagai cabaran, namun tetap berjaya menyiapkan penggambaran mengikut jadual yang ditetapkan.
Sinopsis: Pertarungan Prinsip dan Pengaruh Ilmu Hitam

Dr Izara, lakonan Sophia Albarakbah, ialah seorang wanita moden yang berprinsip dan percaya bahawa kejayaan harus dicapai melalui usaha gigih, bukan jalan pintas.
Cita-citanya besar dalam membina empayar produk kecantikan sendiri.
Namun, kepercayaannya mula goyah apabila berdepan tekanan daripada neneknya sendiri, Bok Miah (Khatijah Tan), seorang pengamal ilmu hitam yang percaya bahawa susuk dan amalan syirik mampu membantu cucunya untuk hidup senang.

Ketegangan antara pegangan moden dan warisan lama mula mencetus konflik yang lebih besar apabila perkahwinan Dr Izara bersama Aidan (Niezam Zaidi) turut berantakan menimbulkan persoalan, adakah perceraian itu berpunca daripada campur tangan ilmu hitam Bok Miah?
Jawapannya bakal dirungkai dalam Tembuni Berdarah yang akan mula menghantui pawagam seluruh negara pada 25 September ini.


https://shorturl.fm/TmZU0