31.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

Filem ‘Abu Si Raksasa’ tawar kelainan sebagai naskhah Kaiju pertama Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkayakan genre filem tempatan, syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd. tampil berani memperkenalkan sebuah karya sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa, yang mengangkat kisah seekor cicak salamander yang berubah menjadi raksasa akibat pencemaran kimia.

Filem ini sekaligus mencipta sejarah sebagai filem Kaiju pertama dihasilkan di Malaysia.

Menurut penerbitnya, Zamin Fakry, idea penghasilan filem ini tercetus hasil perbincangan bersama Prof. Dr. Hezri Adnan, seorang ahli akademik dalam bidang alam sekitar.

Perbincangan itu membuka ruang kepada ilham baharu bagi menggabungkan elemen hiburan dengan mesej kesedaran terhadap isu pencemaran alam sekitar.

“Pasaran tempatan banyak disajikan dengan genre seram, aksi dan komedi.

“Justeru, kami ingin menawarkan sesuatu yang segar dan berbeza. Abu Si Raksasa bukan sahaja mengangkat genre sains fiksyen, tetapi juga menyampaikan mesej penting berkaitan impak pencemaran terhadap alam semula jadi,” katanya.

Filem ini mengisahkan Abu, seekor cicak salamander yang dibela oleh Zaara, lakonan Sophia Al-Barakbah.

Secara tidak sengaja, Abu terlepas ke sebuah empangan yang telah tercemar dengan bahan kimia daripada produk pencuci tandas berjenama ROXCCID.

Akibat pencemaran itu, Abu mengalami mutasi genetik dan berubah menjadi makhluk bersaiz raksasa.

Dalam kekalutan yang berlaku, Zaara bersama dua rakannya Sofiyan (Jaa Suzuran) dan Zidan (Zalif Sidek) berganding bahu untuk menyelamatkan Abu daripada pihak berkuasa yang diketuai oleh Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad, yang menganggap makhluk itu sebagai ancaman kepada keselamatan awam.

Berkongsi mengenai latar belakang pemilihan watak utama, pengarah filem merangkap penulis skrip, Ramdan Che Hassan berkata, cicak salamander dipilih kerana sifatnya yang unik dan simboliknya dalam ekosistem.

“Salamander adalah haiwan amfibia yang hidup di dua alam dan secara saintifik, terdapat laporan tentang spesies yang mampu membesar ke saiz luar biasa.

“Selain itu, ia bukan haiwan ganas, menjadikannya simbol yang sesuai untuk jalan cerita yang ingin kami ketengahkan,” katanya.

Proses pembikinan filem ini yang membabitkan kira-kira 40 peratus penggunaan CGI turut mencabar kreativiti dan imaginasi pasukan produksi.

Dengan bajet sebanyak RM2 juta, termasuk kos kesan khas dan visual, filem ini menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang, termasuk di Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya.

Walaupun berdepan dengan kekangan bajet, Zamin menyifatkan kejayaan filem ini direalisasikan dengan sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyalurkan dana untuk membantu pembikinan filem tempatan yang berkualiti.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman dan popular termasuk Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida, yang memainkan watak-watak penting dalam menjayakan naratif penuh aksi dan emosi.

Abu Si Raksasa kini sudahpun ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 11 September lalu dan dijangka menjadi satu titik tolak baharu dalam landskap perfileman tempatan bukan sahaja dari segi genre, malah dari aspek teknikal dan pendekatan penceritaan.

Dengan menyatukan elemen hiburan, teknologi kesan khas dan mesej kesedaran alam sekitar, filem ini diyakini mampu menarik minat pelbagai lapisan penonton dan membuka lembaran baharu dalam dunia sinema tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular