31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Kukuhkan jalinan budaya Malaysia – Indonesia, ‘Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah’ warnai industri hiburan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak sekadar menyajikan persembahan muzik, Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah anjuran 211 Event Empire menjadi simbol jalinan budaya dua negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia.

Menampilkan barisan artis seperti Mickey Klaxson, John Bear Si Nakal, Ameerais Forteen, Syamel Amzah serta kumpulan The Potai’s Band, showcase yang berlangsung di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur itu membuktikan seni muzik mampu menjadi jambatan penghubung antara dua bangsa yang berkongsi warisan dan bahasa.

Lebih bermakna, acara ini turut diserikan dengan kehadiran delegasi khas dari Aceh, termasuk Yang Terhormat Tengku Irsyadi dan Ustaz Fauzan.

Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai tetamu kehormat, bahkan menjadi lambang keakraban antara rakyat Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang seni dan hiburan.

Dalam usaha menjadikan acara ini inklusif, penganjur turut menyediakan dua pilihan kepada peminat sama ada menghadiri acara secara fizikal dengan tiket berharga RM100, yang turut merangkumi sesi Meet & Greet, jamuan hi-tea dan barangan eksklusif; atau menonton secara langsung melalui platform penstriman dengan bayaran serendah RM10 (bersamaan IDR40,000).

Menariknya, setiap pembelian tiket juga melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah, sebagai penghargaan atas sokongan yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif 211 Event Empire, Intan Madura berkata, pemilihan Syamel Amzah dan Mickey Klaxson sebagai teraju utama showcase ini dibuat berdasarkan impak mereka di platform digital.

“Kami melihat potensi besar terhadap kedua-dua artis ini. Mereka sangat aktif di TikTok, dengan tontonan harian melebihi satu juta.

“Populariti mereka tidak hanya terhad di negara masing-masing, malah merentasi sempadan. Kami percaya ini adalah masa yang sesuai untuk memberi mereka pentas yang lebih besar,” katanya.

Intan berkata, fokus utama penganjuran ini adalah untuk mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.

Oleh itu, tiket fizikal bagi sesi Meet & Greet dihadkan kepada hanya 100 orang demi mengekalkan eksklusiviti acara.

Malah, sambutan yang diterima amat menggalakkan meskipun angka rasmi belum diumumkan.

Melihat pada kejayaan penganjuran di Kuala Lumpur, penganjur juga merancang untuk membawa showcase ini ke Indonesia, dengan memilih Medan sebagai destinasi seterusnya.

“Hari ini kita raikan di Malaysia dan Insya-Allah selepas ini kita akan ke Indonesia pula.

“Kami mahu adil kepada peminat kedua-dua negara. Perancangan sedang berjalan dan kami sangat teruja dengan potensi yang ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Mickey Klaxson, penyanyi muda berbakat besar dari Aceh berkata, showcase ini menjadi momen istimewa kerana ia adalah penampilan sulungnya di Malaysia.

Namanya mula mendapat perhatian ramai apabila vokalnya dikatakan menyerupai suara legenda rock tanah air, Allahyarham Saleem dari kumpulan Iklim.

Bagi Mickey, gaya nyanyiannya lahir secara semula jadi dan tidak pernah berniat untuk meniru suara sesiapa.

“Saya nyanyi ikhlas dari hati. Saya bawa lagu ikut perasaan dan jiwa. Jika ada yang rasa tersentuh, itu datang dengan sendiri dan bukan saya buat-buat,” katanya.

Mickey turut berkongsi minatnya terhadap dunia nyanyian bermula sejak kecil, ketika menjadi muazin di sebuah pesantren.

Dari situ, dia mengasah teknik vokal melalui qasidah sebelum beralih kepada genre popular.

Walaupun pernah berdepan cabaran apabila beberapa lagunya diciplak, Mickey tidak putus asa dan memilih untuk terus berkarya.

“Banyak juga lagu saya yang dicuri, tapi saya anggap semua itu sebagai ujian. Saya tak akan berhenti, kerana minat saya pada muzik sangat mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, kehadiran Ameerais Forteen turut mencuri perhatian. Ahli kumpulan Forteen itu tampil dengan identiti solo yang lebih matang dan versatil.

Ameerais mengakui bergerak solo memberi ruang untuk lebih mengekspresikan dirinya sebagai seorang seniman.

“Bila solo, saya boleh tonjolkan sisi yang tak sempat dizahirkan sebelum ini. Tapi saya tetap hormati dan hargai kenangan bersama Forteen.

“Sekarang saya mahu bina hala tuju seni sendiri,” katanya yang turut merancang untuk menghasilkan single baharu.

Bagi Syamel Amzah pula, penglibatannya dalam showcase ini bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga pencetus idea awal acara.

Syamel menyifatkan kerjasama bersama 211 Event Empire sebagai satu usaha yang harus diteruskan demi membuka ruang kepada artis baharu menonjolkan bakat.

“Idea asal memang daripada saya, tapi semua ini tidak akan menjadi tanpa komitmen pasukan penganjur dan sokongan peminat. Saya berterima kasih kerana diberi kepercayaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah bukan sekadar persembahan hiburan, malah menjadi landasan strategik dalam mengangkat bakat tempatan dan serantau ke peringkat lebih tinggi.

Ia juga membuka ruang kepada kerjasama lebih luas antara dua negara dalam bidang seni persembahan.

Dalam pada itu, Intan Madura menambah, ini hanyalah permulaan.

“Kami percaya pada bakat tempatan dan serantau. Kami mahu lihat artis-artis muda dari Malaysia dan Indonesia berkongsi pentas dan berkembang bersama.

“Insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak projek besar yang akan kami usahakan,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular