editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan utama negara dengan pelancaran ‘Glass Box (Merdeka)’, sebuah tarikan baharu yang bukan sahaja menonjolkan keindahan panorama kota metropolitan dari ketinggian 300 meter, malah menawarkan pengalaman mendalam yang menggamit perasaan dan deria pelawat.
Tarikan yang terletak di Sky Terrace ini menampilkan rekaan kotak kaca sepenuhnya yang terbuka ke langit luas, menjadikannya lebih daripada sekadar tempat pemerhatian biasa.
Dengan pemandangan mengagumkan Menara 118 bangunan kedua tertinggi di dunia sebagai latar belakang utama, ‘Glass Box (Merdeka)’ menggabungkan kehebatan seni bina moden dengan semangat nasionalisme dan sejarah kemerdekaan negara.
Reka bentuk struktur ini dibina menggunakan tiga lapisan kaca berlamina dan dikuatkan dengan bingkai keluli berwarna emas merah jambu “Molten Sun” yang menyerlah ketika matahari terbit dan terbenam.
Diperbuat mengikut piawaian keselamatan antarabangsa, kotak kaca ini mampu menampung sehingga enam orang pada satu-satu masa, menjadikannya tempat yang bukan sahaja selamat malah sempurna untuk diabadikan dalam foto dan rakaman media sosial.

Nama “Merdeka” yang dipilih untuk tarikan ini membawa dua makna penting ia memberi penghormatan kepada Menara 118 yang berdiri megah sebagai simbol kemajuan Malaysia dan ia juga dilancarkan sempena bulan kemerdekaan negara, menjadikan pelancarannya satu peristiwa yang penuh simbolik dan signifikan.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman berkata, pelancaran ‘Glass Box (Merdeka)’ adalah manifestasi sebenar pelancongan berasaskan pengalaman yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelawat masa kini.
“Pelancongan hari ini bukan lagi tentang sekadar melawat destinasi. Ia tentang mengalami, merasai dan membawa pulang kenangan bermakna.
“‘Glass Box (Merdeka)’ memberi peluang kepada pelawat untuk merasai debaran berada di langit terbuka, menikmati seni reka bentuk yang menawan dan berdiri teguh menyaksikan perkembangan landskap Malaysia dari sudut pandang yang unik. Ia adalah kenangan, emosi dan cerita yang akan dibawa pulang,” katanya.
Pelancaran ini turut meletakkan Menara Kuala Lumpur setaraf dengan tarikan langit antarabangsa seperti Skydeck Ledge di Chicago dan Dubai Frame di Emiriah Arab Bersatu.
Namun, keistimewaan ‘Glass Box (Merdeka)’ terletak pada sentuhannya yang unik satu pengalaman yang berakar dalam identiti Malaysia, diinspirasikan oleh semangat kebangsaan dan evolusi seni bina tempatan.

Dengan rekaan yang menitikberatkan unsur interaktif, ‘Glass Box (Merdeka)’ direka khusus untuk generasi pelancong masa kini yang gemar merakam, berkongsi dan bercerita.
Ia bukan sekadar tempat untuk melihat pemandangan, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif bandar raya tempat di mana pelawat menjadi sebahagian daripada ceritanya.
Dari segi simbolisme, struktur ini menyatukan elemen warisan dan kemodenan.
Pancaran warna emas merah jambu bukan sahaja menyerlah dari jauh, malah menggambarkan hubungan erat antara struktur moden ini dan fasad ikonik Menara Kuala Lumpur yang telah menjadi sebahagian daripada latar langit ibu kota sejak sekian lama.
Dengan pelancaran rasmi ini, Menara Kuala Lumpur sekali lagi membuktikan komitmennya untuk terus berada di barisan hadapan dalam menawarkan pengalaman pelancongan bertaraf dunia satu gabungan kukuh antara budaya, seni bina dan nilai emosi yang membangkitkan rasa bangga terhadap pencapaian negara.
‘Glass Box (Merdeka)’ kini dibuka kepada orang ramai dan tiket boleh didapati terus di lokasi, di Menara Kuala Lumpur.


https://shorturl.fm/khOT6
https://shorturl.fm/1PhYL
https://shorturl.fm/2aa4p