editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bagi menghargai jasa dan sumbangan besar ikon seni dan patriotisme tanah air, Dr Sam Rasputin, satu majlis makan malam istimewa bertemakan “Saya Anak Malaysia” telah diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung dengan penuh kesederhanaan namun sarat makna itu inisiatif Presiden Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) yang juga Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abd Majid.
Dr Sam, insan di sebalik lagu patriotik paling ikonik negara, Saya Anak Malaysia adalah lagu yang kekal relevan dan menyatukan rakyat Malaysia sejak tahun 1986.
Dr Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim, 72, cukup dikenali sebagai suara dan wajah di sebalik lagu terbabit.
Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, lagu ciptaan Datuk M. Nasir dengan lirik oleh S. Amin Shahab itu terus bergema setiap kali menjelang 31 Ogos, menjadi simbol kebanggaan dan kecintaan terhadap tanah air.
Malah, apa yang menjadikan lagu ini luar biasa adalah keupayaannya menyentuh hati rakyat pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk menyanyikannya bersama-sama dengan penuh semangat dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Bagi Dr. Sam, malam penghargaan berkenaan memberi makna yang sangat mendalam.
“Syukur pada Allah. Saya terharu setiap kali dengar rakyat Malaysia nyanyi lagu ini bersama-sama. Bukan orang Melayu sahaja, masyarakat Cina dan India pun menyanyi lagu ini dengan penuh semangat.
“Lagu ini sudah jadi milik semua,” katanya sambil mengenang momen ketika lagu itu pertama kali dipersembahkan di Auditorium RTM lebih 30 tahun lalu.
Menurutnya, kekuatan lagu itu terletak pada melodinya yang mudah, lirik yang ringkas dan mesejnya yang menyentuh jiwa menjadikan Saya Anak Malaysia sebagai lagu kebangsaan tidak rasmi yang mencerminkan semangat Malaysia Madani yang inklusif dan menyatukan.
Kini, selepas sekian lama bergiat dalam industri hiburan dan pernah membintangi filem-filem popular seperti Mekanik, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan, Dr Sam memilih untuk memberi tumpuan kepada pengajian agama dan usaha dakwah.
Namun, dia tetap berharap lagu yang pernah mengangkat namanya itu akan terus menjadi pengikat rasa cinta terhadap tanah air dan jambatan perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Dr Sam turut meluahkan rasa terharu terhadap usaha murni Ayob, yang juga jirannya, dalam menjayakan majlis ini.
“Saya pun tak sangka. Mula-mula fikir siapa nak datang tapi syukur, ramai juga yang hadir malam ini.
“Saya berterima kasih pada Ayob, dia faham kehidupan saya dalam dunia seni dan dia masih sudi ingat jasa orang lama macam saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid dalam ucapannya berkata, sudah tiba masanya sumbangan Dr Sam diberikan pengiktirafan yang lebih besar di peringkat nasional.
“Saya pernah cadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, semasa beliau masih berada di luar kerajaan, agar diwujudkan satu program rasmi untuk menghargai jasa Dr Sam.
“Pengiktirafan seharusnya diberikan ketika seseorang itu masih hidup. Beliau layak menerima anugerah tertinggi termasuk gelaran Datuk,” katanya.
Majlis makan malam itu bukan sahaja memberi penghargaan kepada Dr Sam, malah turut menjadi pentas untuk mengiktiraf jasa barisan seniman tanah air yang telah menyumbang kepada pembangunan negara melalui karya seni, budaya dan perjuangan dakwah.
Turut memeriahkan majlis adalah kehadiran beberapa nama besar industri hiburan termasuk penyanyi rock terkenal Mel (Ex Wings), penyanyi dangdut dan pendakwah Iwan Syahman, serta pelawak dan pelakon, Kodan Raja Lawak.

Sambutan yang diberikan oleh tetamu juga membuktikan bahawa nama Dr Sam masih dekat di hati rakyat, walaupun dia telah lama menyepi daripada aktiviti seni secara aktif.
Sewaktu sesi santai bersama peminat, ada yang sempat bertanyakan tentang lagu-lagu lain ciptaannya termasuk Hutan Batu lagu yang menggambarkan kehidupan kota Kuala Lumpur sebagai “hutan konkrit”.
Walaupun Dr Sam kini tidak lagi aktif menyanyi, karya-karyanya masih hidup dan terus dihargai.
Majlis ‘Saya Anak Malaysia’ bukan sekadar sebuah acara makan malam, tetapi satu manifestasi kasih sayang dan penghargaan rakyat Malaysia terhadap insan seni yang telah mencurahkan bakti kepada negara.

Dalam semangat kemerdekaan, penghargaan seperti ini menjadi pengingat bahawa seni dan budaya juga adalah tiang penting dalam membina jiwa bangsa yang merdeka.


https://shorturl.fm/ohcse
https://shorturl.fm/yc8KJ