26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

BMC Family 360° gegar Kajang, Nabila Razali dilantik duta acara

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Penyanyi dan figura terkenal tanah air, Nabila Razali, diumumkan secara rasmi sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga berskala besar yang bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September ini.

Dengan tema “A Step to the Future”, acara ini dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi.

Ia diiktiraf sebagai antara acara komuniti berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) yang terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AI Global, Prof. Dr. Ng Kheng Lun berkata, BMC Family 360° bukan sekadar karnival biasa, tetapi sebuah platform kolektif untuk mendidik dan memperkukuh nilai kekeluargaan, gaya hidup lestari dan keterlibatan komuniti secara holistik.

“Acara ini menjadi medan untuk seluruh keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih berdaya tahan.

“Kami percaya kekuatan sesebuah keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang makmur dan harmoni,” katanya.

Pelantikan Nabila Razali sebagai jurucakap acara disifatkan sebagai langkah strategik untuk menarik minat generasi muda dan keluarga moden.

Personalitinya yang disenangi, ditambah pula dengan peranan beliau sebagai ibu, isteri dan wanita berkerjaya, menjadikan Nabila simbol ideal kepada nilai-nilai yang diangkat melalui acara ini.

Mengulas pembabitannya, Nabila mengakui rasa teruja kerana dapat menyumbang dalam acara yang memberi penekanan kepada masa depan keluarga dan pembangunan mampan.

“Sebagai seorang ibu dan wanita bekerjaya, saya sendiri menyedari betapa pentingnya keseimbangan dalam membina keluarga yang mampan.

“Melalui pendedahan kepada SDG, saya faham bahawa kemampanan bukan sekadar tentang alam sekitar, tetapi turut melibatkan aspek sosial dan ekonomi,” katanya.

Sepanjang acara berlangsung, Nabila dijadualkan menyertai beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat, persembahan khas, serta pelbagai aktiviti promosi menjelang acara utama.

Acara BMC Family 360° bakal menampilkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Antaranya termasuk pameran dan showcase interaktif daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan NGO yang menyokong kesemua 17 prinsip UN SDG.

Turut diadakan ialah pertandingan e-sukan, ruang permainan interaktif, mini zoo, serta pameran inovasi melibatkan bidang teknologi, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup lestari.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga bakal disajikan dengan pertunjukan budaya dan hiburan istimewa yang merangkumi persembahan pentas daripada artis tempatan termasuk penampilan eksklusif daripada Nabila Razali sendiri.

Penganjur menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran, dengan tumpuan kepada komuniti dari Kajang, Cheras dan seluruh Lembah Klang.

Dalam pada itu, Prof. Ng turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja utama yang menjayakan acara ini.

Menurut beliau, kejayaan acara ini adalah hasil usaha kolektif dalam mengangkat kesedaran awam terhadap kepentingan membina komuniti mampan melalui langkah kecil yang bermakna.

“Tema tahun ini, ‘Selangkah ke Masa Depan’, membawa maksud yang besar. Langkah pertama mungkin kecil, tetapi ia adalah paling penting dan selalunya yang paling mencabar.

“Namun, dengan sokongan bersama, kita mampu memulakan perubahan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dengan pengisian yang menyeluruh, pendekatan mesra keluarga dan kehadiran ikon inspirasi seperti Nabila Razali, BMC Family 360° dijangka menjadi acara keluarga yang bukan sahaja menghibur, malah memperkasakan masyarakat ke arah pembangunan mampan dan sejahtera.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular