25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Konsert solo pertama Hael Husaini penuh kejutan, persembahan penuh emosi dan bertenaga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Hael Husaini, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mementaskan konsert solo pertamanya yang diberi nama Hael Husaini & Repertoire yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam Jumaat yang lalu.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan Hael mempersembahkan sekitar 27 buah lagu daripada katalog ciptaannya sendiri, dalam satu persembahan yang penuh gaya, emosi dan keintiman bersama peminat.

Lebih membanggakan, konsert berkenaan turut diserikan dengan kemunculan beberapa penyanyi jemputan ternama tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Masing-masing membawakan lagu-lagu ciptaan Hael dalam persembahan yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Namun, antara detik paling mencuri tumpuan malam itu ialah apabila penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, membuat kemunculan mengejut di atas pentas dan menyampaikan lagu popular Anta Permana, sekali gus menghadirkan suasana penuh magis dan menyentuh perasaan di seluruh dewan.

Ramai yang teruja dan menjerit tidak keruan apabila menyaksikan kelibat Siti muncul di pentas.

Sebagai menunaikan janjinya kepada peminat dan pendokong bakat baharu, Hael turut menjemput juara program realiti Big Stage Alpha, iaitu ALPHA, untuk turut serta membuat persembahan dalam konsert berkenaan.

Tindakan itu disambut dengan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan terhadap usaha Hael dalam mengangkat dan meraikan bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

Sepanjang konsert berlangsung, Zepp Kuala Lumpur dipenuhi ribuan peminat setia Hael yang membanjiri ruang acara hingga mencapai status ‘full house’.

Sorakan, nyanyian bersama dan gelombang emosi jelas terasa apabila lagu-lagu popular seperti Jampi, Hari Ini, Kelentang Kelentung dan banyak lagi bergema di seluruh dewan.

Suasana begitu hidup dengan penonton bukan sahaja menyanyi bersama, malah tidak henti-henti menari dan menyambut setiap persembahan dengan penuh semangat.

Dalam satu luahan ikhlas kepada penonton di akhir persembahan, Hael mengakui dirinya berasa sangat terharu dengan sambutan luar biasa yang diterimanya malam itu.

Hael menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada peminat dan berjanji akan terus menghasilkan karya berkualiti demi memartabatkan muzik tempatan di persada seni tanah air.

Konsert Hael Husaini & Repertoire bukan sahaja membuktikan kemampuan Hael sebagai seorang penyanyi dan penghibur yang serba boleh, malah menyerlahkan kekuatan dirinya sebagai pencipta lagu yang berjaya menyentuh hati pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ia menjadi satu malam yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memperkukuh kedudukan Hael dalam landskap muzik Malaysia sebagai antara nama paling berpengaruh masa kini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular