26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

“Inilah KITA, Sehati Bersama” sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro meneruskan komitmennya dalam menyemarakkan semangat perpaduan rakyat Malaysia dengan melancarkan kempen istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Inilah KITA, Sehati Bersama”, yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 16 September 2025.

Kempen ini mengetengahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia sebagai asas kepada naratif kebangsaan yang inklusif dan menyatupadukan.

Menampilkan pelbagai inisiatif menarik, kempen ini membawakan pengalaman menyeluruh kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai platform, termasuk pelancaran saluran khas ‘KITA Channel’ (saluran 100), persembahan lagu tema “Bangkit Malaysia” oleh Hael Husaini, acara hiburan dan kebudayaan ‘Hello Inilah KITA’, serta siaran radio khas ‘KITA FM’ yang merentasi seluruh negara.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, tema tahun ini memberi penekanan kepada semangat kebersamaan dalam kepelbagaian.

“Kami meneruskan naratif ‘Inilah KITA’ dengan membawa tema ‘Sehati Bersama’ yang mencerminkan momen-momen indah yang telah menghubungkan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

“Menerusi kisah-kisah perkongsian kehidupan daripada berkongsi juadah hingga kepada kolaborasi seni kami ingin memperingati rakyat tentang pentingnya perpaduan dan nilai kebersamaan,” katanya.

Sebagai simbolik kepada jenama kebangsaan, Astro memperkenalkan ‘KITA Channel’ (saluran 100), iaitu saluran khas sempena bulan kebangsaan yang menghimpunkan lebih 50 program istimewa tempatan.

Saluran ini menyiarkan filem, drama, dokumentari, rancangan realiti dan konsert yang mengangkat kisah rakyat dan semangat patriotisme.

Antara tayangan eksklusif termasuklah beberapa telefilem baharu sempena Merdeka seperti Kita Bukan Data, Mariam Meenachi, Rombengan, Wasiat Ayah, dan Daddy Naik Sheikh.

Telefilem-telefilem ini dibintangi pelakon popular tanah air seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Que Haidar, MK K-Clique dan ramai lagi.

Turut dipersembahkan ialah konsert eksklusif seperti Slam X Exist: Our Journey dan Konsert Hael Husaini & The Repertoire.

Kempen ini turut diserikan dengan tayangan tiga dokumentari pendek yang mengangkat kisah sebenar rakyat Malaysia menerusi program ‘Kisah Perpaduan Inilah KITA’.

Dokumentari ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Astro Malaysia bermula 7 Ogos 2025, jam 9 malam.

Antara kisah yang dipaparkan termasuk Famili Ikat Tepi, yang menyorot sebuah kopitiam berusia lebih satu abad sebagai lambang perpaduan; Tempat Letak Harmoni, yang memaparkan kerjasama unik antara masjid dan gereja di Lutong, Sarawak yang berkongsi kawasan parkir; serta Seni Berkawan, yang mengisahkan tiga artis tempatan dari latar budaya berbeza yang bekerjasama dalam satu projek seni bersifat kebangsaan.

Kemuncak kempen ini turut melibatkan acara ‘Hello Inilah KITA’ yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos 2025, menghimpunkan selebriti pelbagai kaum seperti Mira Filzah, Hun Haqeem, Ayda Jebat, Nicole Lai dan Rubini dalam satu acara rakyat yang meraikan muzik, budaya dan hiburan Malaysia.

Bagi pendengar radio pula, siaran khas ‘KITA FM’ akan disiarkan secara langsung dari Putrajaya sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, membabitkan penyampai terkenal daripada rangkaian stesen radio Astro Audio dan RTM.

Inisiatif ini akan diteruskan melalui jelajah 13 negeri dengan menggunakan bas khas ‘KITA FM Hop On Hop Off’, yang bakal berakhir di Pulau Pinang pada Hari Malaysia, 16 September.

Usaha ini juga bakal mencipta satu lagi rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.

Melengkapkan lagi kempen ialah lagu tema rasmi berjudul “Bangkit Malaysia” yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Hael Husaini.

Lagu ini akan boleh distrim di semua platform muzik utama dalam masa terdekat.

Astro turut mengumumkan penganjuran ‘KITA Run’, sebuah acara larian rakyat yang bakal berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Serenia City Central Park, Nilai.

Acara ini bersifat inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan pilihan larian sejauh 5KM dan 10KM, serta dimeriahkan dengan karnival, gerai makanan dan konsert bersama artis tempatan.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Dengan pelbagai inisiatif berimpak tinggi ini, Astro menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan demi membina masa depan negara yang lebih harmoni.

Sesungguhnya, “Inilah KITA, Sehati Bersama” bukan sekadar tema ia adalah cerminan nilai sebenar rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular