editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Setelah hampir tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara, kumpulan rock terkenal dari Indonesia, Ungu, sekali lagi membuktikan bahawa aura dan karya mereka masih kekal segar serta relevan dalam kalangan peminat muzik hari ini.
Kejayaan ini terbukti menerusi konsert ulang tahun mereka yang ke-29, “29th Symphony of Ungu” yang berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Lebih 2,500 peminat membanjiri lokasi konsert sebagai tanda sokongan padu terhadap band kesayangan mereka itu.
Konsert dua jam itu bukan sekadar persembahan biasa, malah memperlihatkan sisi lebih matang dan berani kumpulan Ungu yang tampil dengan pendekatan muzik berbeza.
Lagu-lagu hits mereka diberi nafas baru menerusi susunan muzik orkestra yang dipimpin oleh maestro muzik J.P. Denny, menjadikan persembahan pada malam itu bukan hanya menghiburkan, malah cukup menyentuh emosi.
Ungu mempersembahkan lebih 16 lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai peminat sejak era awal kemunculan mereka.
Antara lagu-lagu yang bergema di dewan malam itu termasuk Tercipta Untukku, Berjanjilah, Kekasih Gelapku, Andai Ku Tahu, Hampa Hatiku, dan Seperti Mati Lampu.

Setiap lagu disampaikan dengan penuh penghayatan, menyuntik semula nostalgia dan kenangan buat penonton.
Salah satu detik paling menyentuh hati sepanjang malam itu adalah apabila Ungu mendedikasikan lagu Bila Tiba buat arwah Gatot Kies Afierianto, pemain keyboard kumpulan itu yang telah meninggal dunia pada Jun lalu.
Persembahan mereka bukan sahaja menjadi penghormatan buat rakan seperjuangan, tetapi turut menambahkan dimensi emosi yang mendalam kepada keseluruhan konsert.
Turut memeriahkan konsert ialah kemunculan penyanyi muda berbakat dari Sabah, Gretchene Quirina, yang mempersembahkan tiga buah lagu dengan vokal mantap dan memukau.

Hadirin juga disajikan dengan momen istimewa menerusi duet romantis antara Pasha dan Aida Jebat yang menyampaikan lagu Tercipta Untukku serta Bismillah Cinta, yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.
Pasha, selaku vokalis utama, memperlihatkan kematangan serta karisma pentas yang luar biasa.
Beliau tidak hanya menyerlah melalui nyanyian, tetapi turut berjaya menghidupkan suasana malam itu dengan interaksi mesra dan jenaka spontan yang menghiburkan.
Hubungan erat yang terjalin antara Pasha, ahli kumpulan dan penonton jelas terpancar melalui usikan serta gelak tawa yang tercetus sepanjang persembahan.

Malam konsert itu bukan sahaja menjadi bukti kemampuan Ungu untuk terus berdiri teguh dalam industri muzik yang sentiasa berubah, tetapi juga mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik paling disayangi di rantau ini, khususnya di Malaysia.
Dengan konsert yang begitu berjaya dari segi muzik dan emosi, peminat di Malaysia pastinya berharap Ungu akan kembali lagi untuk persembahan yang seterusnya.
Dalam usia band yang menghampiri tiga dekad, Ungu masih membuktikan bahawa karya yang ikhlas dan berkualiti akan sentiasa mendapat tempat di hati pendengar.


Tap into a new revenue stream—become an affiliate partner! https://shorturl.fm/C6QvS