editormaxinfo@gmail.com
WASHINGTON – Tokoh teknologi dan bilionair terkenal, Elon Musk menggemparkan arena politik Amerika Syarikat apabila mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang dinamakan sebagai Parti Amerika.
Langkah dramatik itu diumumkan selepas hubungan beliau dengan Presiden Donald Trump dilaporkan retak berikutan perbezaan pendapat yang semakin ketara berhubung isu dasar fiskal negara.
Musk, yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat dan penderma individu terbesar dalam kempen pemilihan semula Trump pada 2024, berkata, keputusannya menubuhkan parti baharu adalah sebagai tindak balas terhadap kelulusan sebuah rang undang-undang yang menurutnya bakal membebankan ekonomi negara dengan hutang yang besar dan ketirisan perbelanjaan.
“Apabila negara dibebani pembaziran dan penyelewengan, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti bukan demokrasi,” katanya menerusi platform media sosial miliknya, X.
“Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan bagi mengembalikan semula kebebasan anda,” katanya lagi.
Ketegangan antara dua tokoh berpengaruh itu mula memuncak sejak beberapa bulan lalu, terutama selepas Trump menyokong rang undang-undang fiskal yang dikritik hebat oleh Musk.
Walaupun ketegangan itu sempat reda selepas Musk menarik balik beberapa kenyataan tajam terhadap Presiden, hubungan mereka kembali renggang selepas Trump menandatangani kelulusan rasmi rang undang-undang itu pada Jumaat lalu.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada Musk telah mengambil langkah undang-undang untuk mendaftarkan Parti Amerika secara sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).
Semakan rekod terkini FEC juga tidak menunjukkan sebarang tanda pendaftaran rasmi parti baharu itu telah dilakukan.
Walau bagaimanapun, dalam kenyataan lanjut di media sosial, Musk berkata, Parti Amerika akan mula berfungsi sebagai kuasa politik aktif menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan datang.
Pada peringkat awal, tumpuan utama parti itu adalah untuk meletakkan calon di beberapa kerusi terpilih dalam Dewan Perwakilan dan Senat.
Difahamkan, hala tuju Parti Amerika yang digagaskan oleh Musk akan lebih konservatif dari segi dasar fiskal, dengan penekanan khusus terhadap pengawalan perbelanjaan kerajaan.
Namun begitu, setakat ini tiada butiran lengkap mengenai struktur atau dasar rasmi yang bakal diangkat oleh parti baharu itu.
Walaupun Musk dan Trump berkongsi banyak pandangan serupa dalam isu-isu sosial dan budaya, jutawan teknologi itu menolak dasar fiskal Republikan yang menurutnya hanya akan menambah beban hutang negara.
Malah, beliau menyifatkan langkah itu sebagai bentuk baharu “perhambaan hutang” terhadap rakyat Amerika.
Sistem dua parti di Amerika Syarikat antara Demokrat dan Republikan telah lama dikritik kerana menyempitkan pilihan rakyat, namun percubaan untuk menubuhkan parti ketiga sering kali menemui kegagalan.
Salah satu contoh paling menonjol ialah Ross Perot yang bertanding sebagai calon Bebas pada tahun 1992 dan meraih hampir 20 peratus undi popular, tetapi tetap gagal memenangi sebarang negeri.
Penganalisis politik dan pakar kewangan kempen sebelum ini berkata, cabaran utama bagi penubuhan parti ketiga di Amerika ialah keperluan sumber kewangan yang besar serta halangan undang-undang yang kompleks faktor yang menyebabkan pengundi dan calon sering kali berasa ragu untuk terbabit.
Sementara itu, reaksi balas daripada Presiden Trump terhadap tindakan Musk tidak mengambil masa yang lama.
Trump dilaporkan memberi amaran bahawa kerajaan kini sedang menilai semula beberapa kontrak besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat milik Musk.
Malah, beliau turut menyindir bahawa entiti kerajaan yang pernah dipimpin oleh Musk merujuk kepada Jabatan Kecekapan Kerajaan kini boleh “berpatah balik dan menelan Elon”.
Dengan perkembangan terbaharu ini, gelanggang politik Amerika Syarikat sekali lagi menjadi medan percaturan yang penuh kejutan kali ini membabitkan dua tokoh paling berpengaruh dalam bidang teknologi dan kepimpinan nasional.

