editormaxinfo@gmail.com
BERAKAS – Figura seni legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, mencuri tumpuan ramai apabila membuat kemunculan istimewa di Consumer Fair ICC Berakas, Brunei, baru-baru ini.
Kunjungannya bukan sahaja mengubat rindu peminat setia di negara itu, malah mencipta detik penuh emosi dan kenangan indah buat mereka yang telah lama mengikuti perjalanan seni Khadijah sejak era 1980-an.
Kehadiran Khadijah disambut penuh mesra oleh peminat yang tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra, bergambar serta menyanyikan lagu-lagu malar segarnya seperti Doa Buat Kekasih dan Ku Gembira Di Sampingmu.
Suasana sesi ramah mesra itu berubah menjadi amat nostalgik apabila nyanyian peminat bergema bersama suara penyanyi tersohor itu, menghidupkan semula semangat muzik klasik yang masih segar dalam ingatan ramai.
Dalam sesi kunjungan yang penuh makna itu, Khadijah turut melancarkan produk terbaharunya, Sos Ibu sos cili premium yang diinspirasikan daripada resipi turun-temurun keluarganya.

Produk ini dihasilkan dengan mengekalkan cita rasa asli masakan tradisional, namun cukup serasi untuk dipadankan dengan pelbagai jenis hidangan moden dan tempatan.
Majlis pelancaran Sos Ibu mendapat sambutan hangat daripada pengunjung Consumer Fair yang turut teruja menyaksikan kemunculan penyanyi legenda itu dalam suasana santai namun penuh simbolik.
Khadijah menyatakan rasa syukur dan terharu atas sambutan hangat yang diterima.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Brunei.
“Ini adalah satu kenangan manis buat saya, lebih-lebih lagi apabila dapat memperkenalkan produk hasil air tangan saya sendiri di sini,” katanya.

Khadijah berkata, Sos Ibu akan mula memasuki pasaran Brunei dalam masa terdekat melalui kerjasama dengan beberapa pasar raya besar (hypermarket) tempatan.
Pelancaran ini adalah langkah strategik dalam usaha memperkenalkan produk tempatan ke pasaran antarabangsa serta memberi inspirasi kepada artis dan usahawan seni lain untuk turut mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan.
Maklum balas awal daripada pengguna di Brunei terhadap Sos Ibu juga dilihat sangat positif dan pihak pengurusan kini sedang merancang untuk memperluaskan rangkaian pengedaran produk ke beberapa negara jiran dalam masa terdekat.
Bagi peminat dan pengguna yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Sos Ibu, mereka boleh mengikuti perkembangan produk serta aktiviti terkini Khadijah Ibrahim menerusi laman rasmi di www.ibufood.com.

