editormaxinfo@gmail.com
Foto Sudasan
KUALA LUMPUR – Mega Star Arena bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila kumpulan R&B legenda, Boyz II Men, menghiburkan lebih 5,000 peminat dalam sebuah konsert yang penuh emosi, kenangan dan kehebatan vokal yang tidak pudar dimamah usia.
Sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka yang bertajuk “Legacy of Love”, kumpulan yang dianggotai oleh Nathan Morris, Wanyá Morris dan Shawn Stockman itu berjaya membuktikan bahawa mereka masih relevan dan berbisa di pentas, meskipun telah lebih tiga dekad mewarnai dunia muzik antarabangsa.
Sebelum persembahan utama bermula, suasana hangat dipanaskan dengan alunan muzik klasik dari era 70-an, 80-an dan 90-an yang diputarkan oleh DJ terkenal, DJ Skeletor.

Penonton nyata terhibur, menyanyi bersama dan menari mengikut rentak lagu-lagu lama yang mengimbau zaman kegemilangan muzik retro, R&B dan pelbagai lagi menambahkan lagi kehangatan malam penuh nostalgia itu.
Tepat jam 9 malam, suasana bertukar menjadi lebih meriah apabila Boyz II Men muncul di pentas, membuka tirai konsert dengan lagu popular “Can’t Let Her Go”.
Dengan keharmonian vokal yang masih mantap dan persembahan bertenaga, kumpulan trio ini menyuntik semangat kepada peminat yang memenuhi setiap sudut ruang Mega Star Arena.

Konsert selama satu jam setengah tanpa henti itu menyaksikan mereka mempersembahkan barisan lagu-lagu hits yang telah menjadikan mereka ikon muzik dunia.
Antara lagu yang mendapat sorakan paling meriah termasuklah “On Bended Knee”, “It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday”, dan tentunya lagu yang menjadi simbol kerjaya mereka, “End of the Road”.
Sebagai penghargaan kepada tokoh-tokoh seni yang telah banyak mempengaruhi perjalanan muzik mereka, kumpulan itu turut menyampaikan persembahan penghormatan khas kepada Michael Jackson, Whitney Houston, dan Prince tiga nama besar yang menjadi lagenda industri muzik global.

Malam itu bukan sahaja menjadi sebuah persembahan muzik, tetapi turut menjadi medan mengimbau kenangan dan emosi bagi ramai peminat, yang membesar dengan lagu-lagu Boyz II Men.
Melalui interaksi mesra dan penuh penghargaan, kumpulan itu tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada peminat di Malaysia atas sokongan yang tidak pernah henti sejak awal kemunculan mereka.
“Kami amat terharu dengan sambutan peminat di Malaysia. Setiap kali kami kembali, ia bagaikan pulang ke rumah kedua. Terima kasih atas cinta dan sokongan yang tidak pernah padam,” kata salah seorang anggota kumpulan itu kepada penonton yang bersorak gembira.

Konsert ini juga menandakan kepulangan mereka ke Malaysia selepas kali terakhir membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 1 Disember 2019.
Malaysia adalah salah satu destinasi terawal dalam siri jelajah dunia mereka yang turut meliputi negara-negara seperti Singapura, Thailand, Filipina dan seterusnya akan diteruskan ke Indonesia, Australia dan New Zealand.
Dengan aura tersendiri, vokal padu dan kharisma yang masih utuh, Boyz II Men sekali lagi membuktikan bahawa muzik yang datang dari hati akan sentiasa relevan merentasi generasi, sempadan dan masa.


https://shorturl.fm/m8ueY