27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

RPM Group & Rockology 2025: Dua langkah strategik ubah lanskap hiburan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air terus berkembang pesat dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, sebuah entiti korporat baharu yang menghimpunkan tiga cabang utama dalam industri seni penerbitan, pengurusan acara, dan rakaman muzik di bawah satu bumbung yang kukuh dan berwawasan.

RPM Group terdiri daripada tiga syarikat teras iaitu Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., yang memfokuskan kepada penghasilan kandungan kreatif seperti drama, filem dan program hiburan berimpak tinggi.

Manakala, RPM Events Sdn. Bhd., syarikat pengurusan acara yang memberi tumpuan kepada penganjuran konsert, festival muzik dan program korporat berskala besar.

Sementara itu, RPM Labels Sdn. Bhd., sebuah label rakaman baharu yang berperanan mencungkil dan membangunkan bakat seni suara tempatan melalui pengeluaran muzik berkualiti.

Pengarah RPM Group of Companies Dato’ Eddy Amir Salim berkata, penubuhan gabungan ini bukan sekadar penjenamaan semula atau pelaburan korporat, tetapi adalah satu gerakan strategik yang menyasarkan pembaharuan menyeluruh dalam landskap hiburan Malaysia.

“Penubuhan RPM Group adalah titik permulaan kepada pendekatan yang lebih profesional, tersusun dan berimpak tinggi.

“Kami percaya sinergi antara Rumah Produksi Merah, RPM Events dan RPM Labels mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membina nilai untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Pelancaran itu turut menyaksikan pengumuman projek perdana RPM Events bagi tahun ini iaitu Rockology Concert Tour 2025, sebuah jelajah konsert nasional yang membawa misi mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia ke pentas arus perdana.

Konsert berskala besar ini bakal menampilkan dua ikon muzik rock tanah air Dato’ Awie dan Search (Kid Din) yang akan berkongsi pentas dalam satu persembahan yang menjanjikan nostalgia dan tenaga luar biasa kepada para peminat.

Awie berkata, penglibatan beliau dalam projek ini adalah lebih daripada sekadar persembahan.

“Saya terima pelawaan untuk terbabit kerana saya percaya pada misi dan semangat Rockology. Ia bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu usaha untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air yang kian pudar.

“Malah, sebahagian daripada hasil konsert ini akan disalurkan kepada program tanggungjawab sosial kami, Konsert Wings Dalam Penjara, sebagai tanda sokongan kepada golongan yang terpinggir,” katanya.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan RPM Group untuk menjadikan hiburan sebagai wadah pemerkasaan sosial, selain menjana nilai ekonomi dan budaya.

Rockology Concert Tour 2025 akan memulakan siri jelajahnya di Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 (North Chapter) dan akan diteruskan di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 (South Chapter).

Kedua-dua lokasi dijangka menarik kehadiran seramai 15,000 peminat dari seluruh negara termasuk Singapura, sekali gus menjadikannya antara konsert terbesar tahun ini.

Tiket bagi North Chapter kini telah mula dijual menerusi laman web rasmi https://rpm.ubertickets.asia/, dengan harga bermula serendah RM98.

 Satu usaha jelas oleh penganjur untuk memastikan hiburan berkualiti tinggi dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Bagi tiket South Chapter, maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran barisan artis tempatan, pengurusan kanan RPM Group serta pengumuman beberapa rakan strategik yang akan berganding bahu menjayakan keseluruhan siri jelajah Rockology ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular