31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Empat figura seni tanah air bersatu dalam konsert bersejarah “Empat Live In Kuala Lumpur 2025”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejarah baharu bakal tercipta dalam industri muzik tanah air apabila empat nama besar yang juga berkongsi pertalian kekeluargaan bergabung di atas satu pentas buat pertama kalinya menerusi konsert istimewa, Empat Live In Kuala Lumpur 2025.

Konsert yang penuh makna ini dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Menggabungkan tenaga seni daripada dua generasi, konsert ini menyatukan adik-beradik legenda, Ziana Zain dan Anuar Zain, bersama anak saudara mereka, penyanyi bersuara lunak Ernie Zakri serta suaminya yang juga vokalis berbakat, Syamel.

Ia bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi simbolik kepada semangat kekeluargaan, warisan muzik dan kecintaan terhadap seni persembahan tanah air.

Konsert ini dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, dan menjadi sebuah projek yang telah lama dirancang namun hanya kini dapat direalisasikan selepas mengambil kira jadual kerja dan komitmen kesemua artis terlibat.

Anuar Zain berkata, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah satu impian yang akhirnya menjadi nyata.

“Projek ini sangat istimewa buat kami kerana tiada siapa menjangkakan bahawa kami sekeluarga, dari generasi berbeza, akan berkongsi satu pentas.

“Setelah bertahun-tahun merancang, kini ia menjadi kenyataan. Ini bukan sekadar konsert, tetapi meraikan ikatan kekeluargaan dan menyatukan peminat dari pelbagai lapisan usia yang membesar dengan karya-karya kami,” katanya.

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai sebuah temasya yang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi juga kasih sayang di antara generasi penggiat seni dan peminat.

“Peminat datang bukan hanya untuk melihat artis kegemaran mereka, tetapi mereka akan menyaksikan keempat-empat kami daripada dua generasi bergandingan.

“Saya tidak mahu berjanji terlalu banyak, tetapi saya yakin peminat akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” kata pelantun lagu Madah Berhelah itu.

Sementara itu, Ernie Zakri tidak menyembunyikan rasa terujanya apabila akhirnya dapat berkongsi pentas bersama bintang-bintang yang menjadi inspirasinya sejak kecil.

“Saya menangis apabila dilamar menyertai konsert ini. Ziana dan Anuar adalah ikon dalam hidup saya. Dapat berdiri di atas pentas bersama mereka adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata Ernie yang berazam menjadikan malam konsert itu sebagai detik paling manis dalam kerjayanya.

Bagi Syamel pula, konsert ini memberi peluang untuk menunjukkan kepelbagaian bakat masing-masing dalam sebuah persembahan besar.

“Setiap daripada kami membawa tenaga dan gaya tersendiri. Saya percaya, gabungan ini mampu menghasilkan persembahan yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Mengukuhkan lagi mutu produksi konsert ini, Jennifer Thompson dilantik sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan bertanggungjawab selaku pengarah muzik.

Kedua-dua mereka berpengalaman luas dalam industri muzik tempatan dan pernah terlibat dalam projek-projek berskala besar.

Jennifer berkata, projek ini sudah dirancang sejak tiga tahun lalu.

“Konsert ini akan menyaksikan empat suara hebat bersatu, setiap satunya memiliki gaya tersendiri.

“Gabungan lagu-lagu popular dari empat dekad yang akan dinyanyikan secara kolaboratif menjanjikan pengalaman yang sangat istimewa buat penonton,” katanya.

Tiket untuk Empat Live In Kuala Lumpur 2025 kini sudah mula dijual menerusi laman web www.ticket2u.com.my/empatkl sejak 25 April lalu.

Harga tiket bermula daripada RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) hingga RM2,088 untuk kategori eksklusif Royal Twin Seat (dua tiket).

Pihak penganjur turut menyediakan kemudahan khas untuk golongan kelainan upaya (OKU) yang boleh menghubungi hotline +6011-1190 0518 bagi mendapatkan tiket.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi simbolik kepada permintaan dan sokongan peminat yang tidak pernah pudar terhadap keempat-empat artis ini.

Ia adalah peluang keemasan yang jarang berlaku dan dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dalam sejarah muzik Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular