28.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Helang Samudera: Perisai maritim negara, naskhah sejarah dedikasi kepada wira Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencipta sejarah baharu dengan melancarkan buku istimewa bertajuk Helang Samudera: Perisai Maritim Negara bagi menyambut sambutan 20 tahun penubuhannya.

Majlis pelancaran yang diadakan di Putrajaya itu turut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Kehadiran baginda memberikan simbolik sokongan dan keprihatinan tinggi terhadap peranan penting Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Majlis pelancaran buku ini bukan sahaja menjadi acara bersejarah, tetapi juga menyaksikan pengiktirafan terhadap usaha gigih dan dedikasi anggota Maritim Malaysia yang telah bertugas selama dua dekad

Buku berkenaan diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Sebuah karya berharga yang memaparkan naratif visual berkualiti tinggi, buku ini menawarkan lebih daripada 180 halaman muka surat yang menceritakan kisah-kisah operasi sebenar yang pernah dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia, serta momen dramatik yang tidak pernah dikongsi kepada umum sebelum ini.

Dalam ucapannya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerbitan buku ini sebagai penghormatan besar kepada wira-wira maritim negara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah yang sangat bernilai, memaparkan keberanian, kecekalan, dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan, dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Buku Helang Samudera: Perisai Maritim Negara menceritakan sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan dalam operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, serta pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Ia juga menampilkan penggunaan teknologi pengawasan canggih yang digunakan oleh pasukan Maritim Malaysia untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjaga.

Selain itu, buku ini turut mengangkat kisah kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), serta penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan perairan Malaysia, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan keselamatan maritim di rantau ini.

Sebagai usaha memperluaskan kesedaran awam mengenai peranan penting Maritim Malaysia, buku ini akan diedarkan ke seluruh perpustakaan di Malaysia, serta institusi pendidikan dari peringkat sekolah hingga ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Selain itu, buku ini juga akan dihantar kepada agensi sahabat dalam dan luar negara sebagai simbol jalinan kerjasama strategik dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim.

Buku ini bukan sahaja menjadi rujukan berharga kepada pengkaji dan pencinta dunia maritim, tetapi juga berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami betapa pentingnya mempertahankan keselamatan maritim negara.

Naskhah ini adalah simbol penghargaan terhadap dedikasi anggota Maritim Malaysia yang telah lama bertungkus lumus memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terjamin.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular