27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Perbaiki video muzik ‘Serumpun’, Mimi Fly terima teguran olah versi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas menerima teguran daripada ramai pihak, penyanyi Mimi Fly bertindak menurunkan video muzik lagu raya Serumpun di saluran YouTube miliknya dan menghasilkan versi olahan semula.

Mimi Fly, 38, mengakui menerima pelbagai maklum balas sejak video muzik itu dilancarkan, termasuk teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.

Katanya, walaupun banyak komen positif diterima, ada juga yang khuatir dengan pendekatan seni yang ditampilkan dalam video muzik itu dan bimbang ia mungkin disalah tafsir atau menyimpang daripada niat asalnya.

“Sejak video muzik saya dilancarkan, saya menerima banyak maklum balas daripada peminat dan pendengar muzik.

“Ada yang memberi komen positif, tetapi ada juga yang bimbang pendekatan seni saya mungkin ditafsirkan secara berlainan atau menyimpang daripada niat saya yang sebenar,” jelasnya dalam perkongsian video di Instagram.

Mimi turut mengakui telah menerima teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan serta nasihat lain dan mengambil maklum segala teguran yang diterima.

Oleh itu, dia memutuskan untuk menurunkan video asal dan mengolah semula karyanya itu.

“Saya sudah mendapat teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya akui kekhilafan saya dan telah memuat naik versi baharu video muzik Serumpun di saluran YouTube saya,” katanya.

Mimi berkata, sebagai seorang manusia biasa, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, dia menghargai setiap teguran yang diberikan demi kebaikan.

“Sebagai anak Melayu, saya tidak pernah berniat untuk menghina agama dan budaya kita. Sebagai seorang anak seni, saya mahu karya saya diterima, berkualiti, dan memberi makna mendalam.

“Saya juga manusia biasa dan tidak terlepas dari kesilapan. Terima kasih atas teguran dan kritikan yang membina,” katanya lagi.

Mimi turut berkongsi mengenai lagu Serumpun adalah hasil ciptaannya sendiri dan terinspirasi dari kepelbagaian budaya di alam Nusantara sejak zaman berzaman.

“Secara ikhlas, saya memohon jutaan kemaafan. Teruskan mendengar Serumpun dan hayati makna Aidilfitri melalui lagu ini,” katanya.

Terdahulu, video muzik Serumpun mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak, yang menyifatkan pemilihan busana yang terdedah dan gaya ala kemban dalam video itu tidak sesuai dengan tema lagu raya.

Isu itu turut mendapat perhatian daripada parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan, yang mendakwa video berkenaan bertentangan dengan ajaran Islam dan maksud sebenar Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular