27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

AC Mizal jawab dakwaan Suke TV bakal gulung tikar, stesen masih beroperasi seperti biasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal Datuk AC Mizal menafikan dakwaan bahawa stesen televisyen miliknya, Suke TV, bakal gulung tikar dan akan menamatkan operasinya.

Pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu berkata, stesen berkenaan masih berjalan seperti biasa dan terus beroperasi dengan rancangan-rancangan menarik untuk penonton.

“Suke TV masih berjalan seperti biasa, belum bankrap, dan kami akan terus beroperasi. Ada banyak berita gembira yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, kami sudah tiga tahun bertahan, dan banyak perancangan menarik yang akan dilaksanakan selepas ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengenai dakwaan pihaknya gagal membayar gaji pekerja, AC Mizal memilih untuk menyelesaikan perkara itu melalui saluran undang-undang.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan kini sedang dalam proses di mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam untuk menyelesaikannya.

“Mengenai dakwaan itu, ia kini dalam proses mahkamah. Kami saling menyaman dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk menguruskan.

“Semua urusan ini akan diteruskan selepas raya. Saya lebih suka menyelesaikan perkara ini di mahkamah daripada perjumpaan luar,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pelakon siri popular Gerak Khas ini tidak menafikan bahawa setiap perniagaan pasti melalui pasang surut.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan stesen televisyen miliknya itu.

“Asam garam perniagaan ada, turun naik memang tak dapat dielakkan. Tapi kami uruskan dengan sebaik-baiknya.

“Kadang kala perniagaan memerlukan perancangan yang betul. Saya tak mahu menghebahkan perancangan yang belum pasti, takut akhirnya tergendala,” katanya.

Menurut AC Mizal, dalam menghadapi persaingan dengan stesen televisyen lain, mereka perlu memilih masa yang sesuai untuk melangkah.

Pelaburan besar diperlukan untuk menghasilkan kandungan berkualiti, dan ia menjadi cabaran bagi stesen kecil seperti Suke TV untuk mendapatkan ruang di pasaran yang semakin kompetitif.

Tahun lalu, seorang personaliti TV mendedahkan gajinya masih belum dibayar ketika bekerja di sebuah stesen televisyen, selain tertunggaknya caruman KWSP dan Perkeso.

Lebih malang lagi, kontraknya ditamatkan lebih awal pada Ogos 2024 tanpa menerima gaji terakhirnya.

Berikutan dakwaan itu, AC Mizal tampil dengan kenyataan menegaskan segala tuduhan buruk terhadap Suke TV adalah fitnah dan beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Saya akan pastikan nama baik stesen dan diri saya dibersihkan melalui saluran yang betul,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular