editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Koerber Technologies Sdn. Bhd. terus memperkukuh keyakinannya terhadap potensi Malaysia apabila melabur sebanyak RM95 juta bagi memperluaskan fasiliti pembuatannya di sini dengan tumpuan utama terhadap pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan kemahiran tenaga kerja berteknologi tinggi.
Naib Presiden Kanan Operasi Global Koerber Technologies, Michael Stietz berkata, pelaburan tersebut bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah menjadi platform penting dalam membina modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Menurut beliau, syarikat itu telah berkembang secara signifikan sepanjang 25 tahun beroperasi di Malaysia, daripada hanya lima pekerja kepada lebih 300 kakitangan pada masa ini.

“Kami telah berkembang daripada hanya lima orang pekerja 25 tahun yang lalu kepada lebih 300 orang pada hari ini.
“Apabila kami menggandakan kapasiti dalam tempoh 12 bulan akan datang, kami juga akan menambah bilangan pekerja,” katanya pada majlis pecah tanah fasiliti baharu tersebut pada Selasa.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Malaysia, Ulrike Wolf.
Hadir sama Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd Karim dan Pengarah Urusan Operasi Koerber Technologies Sdn. Bhd., Heiko Ziesmann.
Stietz menjelaskan bahawa pertambahan kapasiti melalui fasiliti baharu itu bakal membuka lebih 200 peluang pekerjaan baharu secara berperingkat, khususnya dalam bidang komersial, teknikal dan kejuruteraan berkemahiran tinggi.
Tambah beliau, pembangunan tenaga kerja tempatan menjadi teras kepada strategi pertumbuhan syarikat, terutama apabila Malaysia bakal memainkan peranan sebagai hab pengeluaran utama Koerber di Asia.
“Malaysia akan menjadi hab pengeluaran di Asia, untuk pasaran Asia. Ini adalah satu pencapaian besar yang dibina atas asas kukuh selama 25 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ziesmann berkata, syarikat kekal komited melahirkan bakat muda tempatan melalui program pembangunan kemahiran dan latihan industri yang tersusun.
Menurut beliau, Koerber sejak awal lagi memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui kerjasama dengan Program Latihan Vokasional Jerman-Malaysia (GVT) bagi melahirkan tenaga kerja teknikal yang kompeten.
“Kami amat percaya dalam usaha membangunkan bakat-bakat muda di sini. Kami perlu membina bakat-bakat muda sendiri untuk jawatan seperti juruteknik dan kami akan terus berusaha ke arah itu,” katanya.

Ziesmann menambah, pembesaran fasiliti baharu seluas 12,000 meter persegi itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengeluaran, malah memperkukuh fungsi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.
Katanya, langkah itu akan membuka lebih banyak laluan kerjaya bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia dalam sektor teknologi pembuatan, automasi dan kejuruteraan berketepatan tinggi.
“Pembangunan modal insan tempatan yang mampan akan menjadi pemacu utama kepada daya saing Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan asing bernilai tinggi pada masa hadapan,” ujarnya.
Fasiliti yang terletak di koridor perindustrian Hicom itu disasarkan siap pembinaan menjelang suku keempat 2026 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Koerber Technologies mempunyai pengkhususan dalam pengeluaran menyeluruh (end-to-end) mesin berteknologi tinggi bagi industri makanan dan minuman.
Pembangunan itu juga dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap pembuatan berteknologi tinggi dan rumusan automasi di seluruh rantau Asia Pasifik.
Dengan peningkatan kapasiti ini, fasiliti di Shah Alam tersebut akan menjadi penyokong utama kepada keperluan rantaian bekalan berketepatan tinggi bagi pasaran serantau dan global.

