editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bermula dari Bangi dengan langkah sederhana namun berteraskan perancangan strategik, rangkaian makanan segera tempatan BGM Burgerman terus mencipta pencapaian tersendiri apabila secara rasmi melancarkan cawangan keduanya di Setapak, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam industri makanan segera tempatan.
Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat, berkata pemilihan Setapak sebagai destinasi mengembangkan perniagaan bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya hasil kajian terperinci membabitkan faktor populasi, kepelbagaian komuniti serta kedudukan strategik kawasan itu yang menghubungkan beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur.
Menurut beliau, kawasan Setapak yang berada berhampiran Gombak, Wangsa Maju, Batu Caves, Sentul serta pusat bandar Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk dianggarkan antara 300,000 hingga 400,000 orang dalam radius lima kilometer, menjadikannya lokasi berpotensi tinggi untuk pertumbuhan perniagaan makanan segera.

“Nama pun Setapak, ini memang langkah pertama kita untuk keluar daripada outlet Bangi. Selepas hampir setahun beroperasi, kami sudah lebih jelas tentang hala tuju dan sistem yang diperlukan untuk membangunkan BGM dengan lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Pelancaran rasmi BGM Burgerman Setapak mencatatkan sambutan di luar jangkaan apabila lebih 1,000 pelanggan dan penyokong hadir seawal hari pertama operasi.
Suasana meriah itu jelas menggambarkan pendekatan berbeza BGM yang memilih untuk meraikan pembukaan outlet bersama pelanggan, berbanding majlis konvensional yang lazimnya membabitkan tetamu kehormat.

“Pembukaan kali ini kita raikan bersama pelanggan. Mereka inilah VVIP sebenar BGM,” katanya.
Seawal jam 10 pagi, pelanggan dilihat beratur panjang bagi menikmati promosi istimewa Mega Burger yang ditawarkan pada harga RM2 berbanding harga asal RM17.90.
Tawaran terhad sebanyak 1,000 unit itu hampir habis sepenuhnya pada hari pelancaran, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa terhadap jenama berkenaan.
Dari segi penawaran menu, BGM Setapak menyediakan pilihan utama seperti burger ayam dan daging, ayam goreng, nasi lemak serta bubur.

Outlet ini juga bakal memperkenalkan menu sarapan pagi dan pencuci mulut termasuk kek serta kopi, yang dijangka mula ditawarkan pada minggu berikutnya.
BGM Burgerman Setapak beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, dan mempunyai potensi untuk beroperasi selama 24 jam bergantung kepada permintaan dan sambutan pelanggan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Nordin berkata, visi utama BGM adalah untuk membuktikan jenama makanan segera tempatan mampu menyaingi kualiti dan standard antarabangsa.
Katanya, usaha itu dibina melalui pembangunan sistem operasi, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), latihan kakitangan serta pemantapan produk yang mengambil masa hampir setahun untuk disempurnakan.

Dari sudut kapasiti perniagaan, outlet Setapak dianggarkan mampu menjana jualan sehingga RM100,000 sehari, dengan kos operasi hampir dua kali ganda berbanding outlet pertama di Bangi, selari dengan skala dan lokasi premis yang lebih strategik.
Selain fokus kepada pertumbuhan perniagaan, BGM Burgerman turut mengekalkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial dengan membuka peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) serta mengutamakan pengambilan pekerja tempatan sepenuhnya.

Di outlet Setapak sahaja, seramai dua individu OKU telah diambil bekerja, manakala empat lagi di cawangan Bangi.
“Polisi kami jelas, sebolehnya 100 peratus tenaga kerja adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Bergantung kepada prestasi dan sambutan di Setapak, BGM Burgerman turut merancang untuk membuka peluang lesen dan francais pada masa hadapan, sekali gus membawa jenama makanan ini dengan lebih meluas lagi.

