editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Penyanyi Ayu Damit akhirnya membuka kisah peribadi yang lama terpendam apabila mendedahkan bagaimana kecaman dan anggapan negatif terhadap rupa parasnya selama hampir dua dekad memberi kesan besar terhadap kesihatan mental sehingga menyebabkan dirinya berdepan kemurungan.
Pelantun lagu Hanya Di Mercu itu mengakui sepanjang 18 tahun bergelar anak seni, dia sering dilabel berimej kampung, tidak cantik dan tidak sesuai menjadi penyanyi hanya kerana memiliki wajah yang dianggap tidak menepati standard kecantikan industri hiburan.
Ayu berkata, lebih menyedihkan, terdapat segelintir pihak yang secara terbuka menyatakan dirinya tidak mempunyai masa depan dalam dunia seni semata-mata kerana penampilan fizikal.
“Kata-kata negatif itu bukan sekadar komen biasa, sebaliknya datang bertalu-talu sehingga perlahan-lahan mempengaruhi emosi dan pemikiran saya.
“Saya pernah berasa sangat kecewa, tersinggung dan memendam perasaan apabila berulang kali dihina, sehingga akhirnya kritikan itu “masuk ke dalam kepala” dan membawa kepada episod kemurungan.
“Tekanan yang saya dihadapi tidak terhenti di situ. Setiap usaha saya untuk memperbaiki penampilan diri dengan tampil lebih kemas dan menarik ketika membuat persembahan turut menerima reaksi negative,” katanya.

Ayu berkata, apabila cuba kelihatan lebih cantik, beliau dituduh berlebihan, manakala apabila menjaga penampilan, masih ada yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan setiap langkah yang diambil.
“Keadaan menjadi lebih menyakitkan apabila saya berdepan tuduhan melampau, termasuk dilabel seksi serta dikaitkan dengan didikan suami hanya kerana ingin tampil menarik di atas pentas.
“Saya juga pernah menerima komen yang menghina cara bertudung dan penampilan diri yang bukan sahaja menyentuh perasaan saya, malah seolah-olah menghina maruah keluarga.
“Saya hanyalah manusia biasa yang mempunyai perasaan, dan walaupun mampu kelihatan kuat di luar, hanya Allah mengetahui betapa peritnya tekanan emosi yang dipendam selama ini,” kongsinya.

Namun, pengalaman pahit itu akhirnya mengajar Ayu untuk berdamai dengan diri sendiri dan menerima bahawa nilai seorang wanita tidak terletak pada kecantikan di mata manusia, sebaliknya pada kekuatan hati dan keikhlasan diri.
Selepas melalui fasa sukar sehingga berdepan kemurungan, Ayu mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang figura yang kini dikenali sebagai Dr Healing, iaitu Dr Hisham Dzakiria.
Pertemuan itu menjadi titik perubahan penting buatnya untuk kembali menenangkan emosi, menyusun semula kehidupan dan melihat perjalanan hidup dengan lebih jernih.
Menurut Dr Hisham, ujian hidup tidak memilih status, nama atau gelaran seseorang.
Sebaliknya, kekuatan seseorang terletak pada keupayaan mengawal reaksi dan emosi ketika berdepan cabaran hidup.

Katanya, memberi ruang kepada suara-suara negatif hanya akan menyebabkan seseorang hilang fokus, arah dan akhirnya kehilangan diri sendiri.
“Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan adalah takdir yang telah ditentukan Allah dan setiap takdir itu pasti mengandungi hikmah walaupun belum dapat difahami pada masa kini,” katanya.
Ayu dan Dr Hisham berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara perasmian pembukaan Healing Centre Dr Hisham Dzakiria di Shah Alam, Selangor.
Dalam konteks masyarakat hari ini, tekanan emosi bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah menjadi realiti harian melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.
Peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan, keletihan emosi serta masalah tingkah laku mencerminkan keperluan mendesak untuk memberi perhatian serius terhadap kesihatan mental dan emosi.
Atas keperluan itu, Healing Centre Dr Hisham Dzakiria ditubuhkan sebagai sebuah pusat terapi emosi yang menawarkan pendekatan praktikal, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian bagi membantu individu mencapai kestabilan emosi serta transformasi minda secara berkesan.

Dr Hisham berkata, pusat berkenaan diwujudkan dengan misi untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh masyarakat, khususnya mereka yang bergelut secara senyap dengan kemurungan, stres, fobia dan masalah hubungan.
Katanya, kesihatan mental adalah hak setiap individu dan pasukan kaunselor di pusat berkenaan komited menyediakan ruang yang selamat, profesional dan bebas penghakiman bagi membantu proses pemulihan.
“Stigma negatif masyarakat sering menjadi penghalang utama individu mendapatkan rawatan kesihatan mental, sedangkan meminta bantuan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah berani ke arah kehidupan yang lebih Sejahtera,” katanya.
Healing Centre Dr Hisham Dzakiria adalah subsidiari di bawah syarikat Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd yang turut mengendalikan seminar berkaitan pengurusan kesihatan mental dan pembangunan diri.
Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat terapi emosi boleh menghubungi 010-3243243 bagi membuat janji temu atau hadir ke pusat berkenaan di No. 12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, 40170 Shah Alam. Pusat ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

