25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

Healing Nite 2026: Konsert terapi jiwa satukan 20,000 penonton di Stadium Merdeka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gabungan lima nama besar industri muzik Nusantara iaitu Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band berjaya menjadikan Healing Nite 2026 sebagai sebuah pengalaman terapeutik luar biasa yang bukan sekadar konsert hiburan, malah satu perayaan emosi dan kesejahteraan jiwa.

Berlangsung di lokasi ikonik Stadium Merdeka pada malam Sabtu lalu, Healing Nite 2026 menghimpunkan lebih 20,000 penonton yang hadir dengan satu tujuan bersama untuk ‘healing’ dan menyelami ketenangan melalui alunan lagu-lagu ikonik yang dekat di hati.

Konsert ini memperlihatkan bagaimana muzik, apabila dikurasi dengan penuh berhemah, mampu menjadi medium terapi yang berkesan dan bermakna.

Acara berprestij ini dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan produksi daripada Creative Page Sdn Bhd, manakala Yumeca Sdn Bhd mengemudi strategi, pemasaran, tajaan serta penglibatan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz berkata, Healing Nite 2026 membawa signifikan tersendiri dalam landskap hiburan tempatan.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, sebaliknya sebuah keraian muzik yang dirayakan sebagai proses terapeutik yang menyenangkan.

“Konsep ‘healing’ diterjemahkan secara menyeluruh, bukan hanya melalui barisan artis yang dipilih, malah melalui elemen pengalaman yang disediakan kepada penonton sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Seawal jam 1 petang, pengunjung disambut dengan Healing Tent di pintu masuk utama Stadium Merdeka, berfungsi sebagai ruang transisi yang mengundang ketenangan sebelum malam beralih kepada suasana penyembuhan emosi.

Ruang ini memberi peluang kepada pengunjung untuk memperlahankan langkah, menyerap aura positif dan menyesuaikan diri dengan konsep konsert yang berteraskan kesejahteraan.

Pengalaman ini diperkayakan dengan kehadiran rakan kolaborasi gaya hidup dan kulinari yang dipilih secara teliti, menampilkan sajian Melayu autentik, kopi premium, pencuci mulut berkarakter serta pelbagai hidangan kontemporari yang melengkapkan perjalanan sensori penonton.

Kehalusan kurasi ini diteruskan ke dalam stadium dengan penyediaan zon relaksasi, perkhidmatan spa dan hospitaliti sepanjang konsert berlangsung.

Lebih menyentuh perasaan, Healing Nite 2026 turut mencipta momen istimewa apabila seorang peminat setia Anuar Zain sejak awal 1980-an, Rokiah Hamzah, yang kini menunjukkan tanda-tanda dementia, hadir bersama hampir kesemua anak dan cucunya.

Walaupun berdepan cabaran ingatan, kasih dan memorinya terhadap Anuar Zain kekal utuh.

Keluarganya menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejutan indah yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi terapi emosi buat ibu dan nenek mereka.

Dari sudut persembahan, setiap artis tampil dengan rangkaian lagu yang menyentuh perasaan, membawa penonton mengimbau kenangan, kasih, kehilangan dan harapan.

Dayang Nurfaizah memukau dengan vokal penuh emosi, disusuli Lyodra yang mempamerkan kekuatan vokal generasi baharu Indonesia, manakala Kangen Band menghidupkan nostalgia dengan lagu-lagu malar segar mereka.

Ella dan Anuar Zain pula membuktikan keunggulan mereka sebagai ikon muzik tanah air yang kekal relevan merentas generasi.

Secara keseluruhan, Healing Nite 2026 berjaya mengangkat konsep konsert ke satu dimensi baharu sebuah pengalaman gaya hidup yang dikurasi dengan penuh kehalusan, di mana muzik, emosi dan kesejahteraan diraikan dalam satu naratif yang menyeluruh.

Ia menjadi bukti bahawa hiburan, apabila dianjurkan secara bertanggungjawab dan berfalsafah, mampu menjadi jambatan penyembuhan dan penyatuan jiwa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular