24.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, February 1, 2026

Menara Kuala Lumpur santuni 100 kanak-kanak kurang berkemampuan melalui program CSR ‘Reach for the Sky’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai mercu tanda negara yang bukan sahaja ikonik dari segi pelancongan, malah aktif menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan ‘Reach for the Sky’.

Program berimpak tinggi ini telah memberi pengalaman berharga, pembelajaran bermakna serta kegembiraan kepada 100 orang kanak-kanak kurang berkemampuan dan berkeperluan khas daripada lima buah rumah kebajikan terpilih.

Antara rumah kebajikan yang terbabit dalam program ini ialah Pertubuhan Keluarga Berkebajikan (Family of Charity), Persatuan Sinaran Hidup (The Beacon Society), Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Raudhatul Nurr Jannah, Rumah Kanak-Kanak Triniti serta Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi Selangor.

Inisiatif ini dirangka sejajar dengan komitmen berterusan Menara Kuala Lumpur untuk mendekati komuniti dan membuka peluang kepada kanak-kanak yang mempunyai keterbatasan akses kepada pengalaman pembelajaran di luar persekitaran harian mereka.

Program dimulakan dengan lawatan sambil belajar ke beberapa tarikan utama Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Terrace, Glass Box dan Observation Deck.

Dari puncak menara, peserta berpeluang menyaksikan panorama bandar raya Kuala Lumpur dari sudut pandang yang berbeza.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, pengalaman berada di ketinggian ratusan meter buat pertama kali ini telah mencetuskan rasa kagum, keterujaan serta membuka perspektif baharu tentang keindahan dan skala bandar metropolitan.

Bagi memperkayakan elemen pembelajaran, kanak-kanak turut diperkenalkan dengan Kuala Lumpur Tower Edu Passport, sebuah buku interaktif yang direka khas untuk menggalakkan pembelajaran berasaskan penerokaan.

Melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan, pasport pendidikan ini mendorong kanak-kanak untuk memerhati, bertanya dan berinteraksi dengan persekitaran sekitar, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih hidup dan bermakna.

Inisiatif ini mengukuhkan peranan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan berteraskan pendidikan yang menyemai rasa ingin tahu terhadap seni bina, panorama bandar serta khazanah hutan bandar Malaysia.

Program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari di HEMISFERA Luxury Sky Hall yang eksklusif, sebelum disusuli ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, selaku pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur.

Majlis kemudiannya mencapai kemuncak dengan penyampaian sumbangan kewangan berjumlah RM5,000 kepada setiap rumah kebajikan yang terbabit, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kebajikan kanak-kanak dan usaha memperkasa komuniti.

Menurut Khairil Faizal, Program CSR ‘Reach for the Sky’ mencerminkan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk menikmati kebahagiaan, peluang pembelajaran serta sumber inspirasi yang dapat membentuk masa depan mereka.

“Inisiatif seperti Kuala Lumpur Tower Edu Passport diharap dapat menyemai rasa ingin tahu dan meninggalkan kenangan bermakna yang kekal dalam ingatan peserta.

“Menara Kuala Lumpur, akan terus komited dalam memperjuangkan program yang memberi impak positif kepada masyarakat dan memperkasa generasi muda,” katanya.

Secara keseluruhan, Program CSR ‘Reach for the Sky’ memperkukuhkan misi Menara Kuala Lumpur dalam membina hubungan komuniti yang berterusan serta mencipta nilai sosial melalui pengalaman yang membina.

Dengan gabungan elemen pendidikan, penerokaan dan kebajikan, program ini selari dengan visi Menara Kuala Lumpur sebagai simbol pertumbuhan, harapan dan inspirasi untuk semua lapisan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular