editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan pelancongan global terkemuka, Trip.com Group, mendedahkan trend baharu yang semakin mempengaruhi landskap pelancongan di Asia Tenggara, dengan pelancongan berasaskan pengalaman dan percutian berorientasikan keluarga muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan industri di rantau ini.
Pendedahan itu dibuat sempena penganjuran sulung acara Trip.Best Roadshow: Southeast Asia Travel Trends Unpacked yang berlangsung di Singapura, menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan perubahan tingkah laku pelancong berdasarkan analisis data Trip.Best, platform cadangan pelancongan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran manusia oleh Trip.com.
Menurut data terkini, pelancong Asia Tenggara kini semakin cenderung memilih destinasi Asia Timur seperti Shanghai, Hong Kong, Tokyo dan Seoul.
Trend pelancongan berasaskan pengalaman turut mencatat lonjakan ketara apabila carian untuk aktiviti pelancongan meningkat sebanyak 808 peratus tahun ke tahun, manakala minat terhadap tarikan percutian beriklim sejuk atau cool escape attractions melonjak sehingga 1,941 peratus.
China turut menyaksikan peningkatan minat terhadap bandar-bandar baharu, dengan Chongqing muncul sebagai destinasi pilihan.
Bandar yang digelar ‘cyberpunk city’ itu mencatat pertumbuhan terpantas dalam kalangan pelancong Malaysia, dengan peningkatan paparan Trip.
Best sebanyak 448 peratus dan lonjakan tempahan mencecah 599 peratus tahun ke tahun, didorong oleh seni bina bandar berlapis, pemandangan unik, tarikan sejarah serta kepelbagaian gastronomi.

Bagi Malaysia, data Trip.Best menunjukkan negara ini berada pada kedudukan kukuh sebagai destinasi pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
China kekal sebagai penyumbang tertinggi ketibaan pelancong antarabangsa, diikuti negara serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja, sekali gus mengukuhkan daya tarikan Malaysia di peringkat Asia Tenggara.
Pada masa yang sama, pelancongan domestik di Malaysia mencatat pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun, dengan Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak muncul sebagai destinasi paling popular.
Trend percutian berorientasikan keluarga turut menunjukkan peningkatan ketara apabila carian untuk “aktiviti keluarga” meningkat lebih 35 peratus, manakala tempahan hotel hujung minggu yang menawarkan aktiviti kanak-kanak meningkat lebih 28 peratus.
Pilihan penginapan dalam kalangan rakyat Malaysia juga didominasi oleh hotel mesra keluarga, diikuti hotel berkonsepkan pemandangan indah dan hotel ‘Instagrammable’, mencerminkan pengaruh elemen visual dalam keputusan percutian.
Selain itu, rakyat Malaysia turut dikenal pasti sebagai pembuat keputusan pantas, dengan purata hanya empat hari diambil untuk membuat tempahan penginapan, berbanding purata enam hari di peringkat Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Kanan Serantau Asia Tenggara Trip.com, Edmund Ong, perubahan tingkah laku pengguna semakin jelas apabila pelancong kini lebih mementingkan pengalaman yang autentik dan bermakna.
Beliau berkata, dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya, percutian semakin dilihat sebagai medium untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui percutian singkat dan berkualiti.
Beliau turut menegaskan komitmen Trip.com untuk terus mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia menerusi platform seperti Trip.Best serta memperkukuh kerjasama tempatan bagi menyokong aspirasi negara sebagai hab pelancongan serantau.
Seiring peningkatan permintaan terhadap perancangan perjalanan yang lebih diperibadikan, Trip.com Group terus memperkasa penggunaan teknologi AI bagi memudahkan proses perancangan pelancongan.

Trip.Best berfungsi sebagai panduan berasaskan data yang memaparkan hotel, tarikan dan restoran terbaik, sekali gus membantu pelancong membuat keputusan yang lebih yakin dan tepat.
Sementara itu, Naib Presiden Trip.com Group, Sunny Sun, berkata peningkatan penggunaan Trip.Best turut diterjemahkan kepada kepuasan pengguna yang lebih tinggi, dengan Skor Promoter Bersih (NPS) di Malaysia dan Singapura mencatat peningkatan sebanyak 40 peratus tahun ke tahun.
Menurutnya, gabungan teknologi dan sentuhan kepakaran manusia membolehkan Trip.com menawarkan cadangan perjalanan yang boleh dipercayai, relevan dan masa nyata kepada pengguna.
Secara keseluruhan, dapatan ini mencerminkan perubahan landskap pelancongan Asia Tenggara yang semakin berfokus kepada pengalaman, kekeluargaan dan perancangan pintar, sekali gus membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk memanfaatkan momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

