26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 31, 2026

Bufet Ramadan Citarasa Santapan Desa 2026 kembali di Kuala Lumpur Tower

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak 1447 Hijrah, Kuala Lumpur Tower sekali lagi mengangkat warisan cita rasa tempatan menerusi bufet tahunan yang dinanti-nantikan, Citarasa Santapan Desa – “Rasa Asli, Suasana Eksklusif”, yang akan berlangsung dari 21 Februari hingga 16 Mac 2026.

Bertempat di Sky Mega Hall, ruang makan premium pada ketinggian 292 meter dari aras bumi, bufet ikonik ini menjanjikan pengalaman gastronomi desa yang unik dengan gabungan hidangan tradisional Melayu, suasana kampung yang ditafsir semula secara moden serta panorama 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur.

Tetamu berpeluang menikmati pemandangan memukau dari cahaya senja sehingga ke panorama malam yang berkilauan, menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih eksklusif dan bermakna.

Tema “Rasa Asli, Suasana Eksklusif” tahun ini membawa nafas baharu kepada nostalgia desa dengan sentuhan elegan dan kontemporari.

Ia direka teliti oleh pasukan kulinari Kuala Lumpur Tower bersama rakan strategik, Knight Cuisines Sdn. Bhd., bagi memastikan setiap sajian bukan sahaja menepati keaslian rasa, malah memenuhi standard premium sebuah lokasi ikonik negara.

Sepanjang tempoh bufet, tetamu bakal disajikan dengan lebih 200 pilihan hidangan desa, yang dibahagikan kepada empat set menu rotasi mingguan.

Pendekatan ini memastikan setiap kunjungan menawarkan variasi berbeza, sekali gus memenuhi selera keluarga, kumpulan korporat serta pelancong antarabangsa.

Antara hidangan tradisi desa yang ditampilkan termasuk pelbagai jenis kerabu dan ulam-ulaman segar, sup tulang berempah serta sup ayam berherba, selain sajian utama seperti Daging Rendang Tok, Ayam Masak Merah, Ayam Percik Desa, Kari Kepala Ikan dan ikan bakar yang digandingkan dengan sambal tempoyak.

Keunikan bufet ini turut diserlahkan melalui gerai masakan secara langsung yang sentiasa menjadi tumpuan, antaranya Kambing Golek, Char Kuey Teow Kampung, Mee Kari berkuah pekat, sate ayam dan daging, serta cucur udang dan apam balik yang disediakan panas untuk dinikmati segera.

Aroma masakan tradisional yang memenuhi ruang Sky Mega Hall membangkitkan kenangan hidangan air tangan ibu dan nenek, menjadikan bufet ini bukan sekadar jamuan berbuka puasa, tetapi satu pengalaman emosi dan nostalgia yang mendalam.

Bagi melengkapkan hidangan utama, pelbagai pencuci mulut dan minuman tradisi turut disediakan, termasuk sudut ABC, kuih-muih Melayu klasik seperti Seri Muka, Kuih Lapis dan Talam Pandan, selain pengat pisang, bubur kacang hijau, agar-agar santan, Air Bandung, Teh Tarik dan Sirap Limau.

Bagi mengekalkan tahap eksklusiviti dan keselesaan, hanya 220 tetamu diterima setiap hari.

Setiap tetamu akan menikmati ruang makan yang luas, layanan profesional oleh pasukan hospitaliti terlatih serta pemandangan ikonik Kuala Lumpur termasuk KLCC dari jendela eksklusif.

Tempat duduk di tepi tingkap turut ditawarkan dalam jumlah terhad bagi mereka yang inginkan pengalaman visual terbaik.

Kemudahan sokongan seperti surau, kerusi bayi terhad, ruang menunggu selesa, perkhidmatan shuttle dan kawalan keselamatan bertauliah turut disediakan.

Dari segi harga, bufet ini ditawarkan pada kadar berpatutan dengan promosi Early Bird yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2025.

Harga biasa bagi dewasa bermula RM179 pada hari biasa dan RM199 pada hujung minggu, manakala tawaran Early Bird menawarkan penjimatan ketara dengan harga serendah RM125 pada hari biasa dan RM139 pada hujung minggu, termasuk caj perkhidmatan dan SST.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, berkata Citarasa Santapan Desa bukan sekadar bufet Ramadan, sebaliknya satu pengalaman gastronomi yang mengangkat warisan desa ke pentas premium Kuala Lumpur Tower.

Menurut beliau, program ini kekal menjadi pilihan utama keluarga, pelanggan korporat dan tetamu antarabangsa dari tahun ke tahun, dengan edisi 2026 dijangka terus mencipta kenangan indah sepanjang Ramadan.

Tempahan kini dibuka dan tertakluk kepada kapasiti harian yang terhad.

Orang ramai disarankan merebut peluang promosi Early Bird sebelum 31 Disember 2025 bagi menikmati pengalaman berbuka puasa eksklusif dengan rasa asli desa dalam suasana mewah, hanya di Kuala Lumpur Tower.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh menghubungi +603 2630 3033.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular