30.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 1, 2025

‘Gema Bumantara’ Siti Nurhaliza hidupkan kembali warisan muzik Melayu

editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai ikon seni tanah air dengan pelancaran album tradisional terbaharu berjudul “Gema Bumantara”, sebuah karya yang menggabungkan keindahan muzik warisan Melayu dengan sentuhan kontemporari yang segar dan berjiwa.


Mengetengahkan tema warisan dan jati diri bangsa, Gema Bumantara membawa makna simbolik yang mendalam melambangkan gema suara budaya Melayu yang terus bergema merentasi masa, sempadan dan generasi.


Album ini menjadi kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu seperti Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur, yang telah menjadi penanda aras dalam perjalanan seni beliau selama lebih dua dekad.


Menurut Siti, penghasilan Gema Bumantara adalah manifestasi cintanya terhadap muzik tradisional Melayu dan cerminan tanggungjawabnya sebagai seniman untuk memastikan irama warisan bangsa terus subur di jiwa generasi muda.


“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Gema Bumantara adalah hadiah saya kepada semua pencinta muzik warisan dan semoga ia terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia. Saya melihat ini sebagai satu tanggungjawab untuk memartabatkan seni tradisional kita,” katanya.


Penyanyi tersohor itu turut menzahirkan penghargaan kepada para pencipta lagu dan penggiat muzik tradisional yang terus memperkaya karya tempatan dengan semangat dan dedikasi yang tinggi.


Lebih membanggakan, Gema Bumantara turut menerima sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0, sebagai usaha memperkasa karya seni tempatan agar terus bersaing dalam arus perdana.


Sokongan ini juga membuktikan keyakinan kerajaan terhadap potensi muzik berteraskan warisan budaya untuk terus hidup dalam landskap industri moden yang dinamik.


Album Gema Bumantara menampilkan 10 buah lagu baharu yang dihasilkan oleh barisan komposer dan penulis lirik terkemuka seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr.


Turut menyumbang ialah nama-nama besar seperti Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib, Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan serta Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri.


Antara lagu-lagu yang menghiasi album ini termasuk “Kumbang Bunga” (duet bersama Lesti), “Hati Yang Rindu”, “Rencong”, “Pesanan Buat Diri”, “Kaca dan Permata” (duet bersama Umairah), “Syurgaloka”, “Hujung Bumi”, “Kesuma”, “Jenjang Cinta”, dan “Cenderamaya”.


Proses penghasilan album ini mengambil masa hampir setahun, merangkumi fasa pencarian lagu, penyusunan muzik, rakaman vokal dan produksi akhir.


Setiap perincian dilakukan dengan penuh ketelitian oleh pasukan produksi profesional di bawah seliaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri.


Gema Bumantara diterbitkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd. dan kini boleh didapati di semua pelantar digital utama sejak 28 Oktober 2025.


Bagi peminat yang menantikan koleksi eksklusif, versi album fizikal Gema Bumantara dijangka akan dilancarkan pada Januari 2026, bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, sebagai tanda penghargaan kepada perjalanan karier seni beliau yang kini menjangkau tiga dekad.


Dengan pelancaran Gema Bumantara, Siti Nurhaliza bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai penyanyi tersohor Nusantara, tetapi juga meneruskan legasi sebagai penjaga warisan muzik Melayu, menghidupkan semula nilai keindahan seni tradisional agar terus relevan dan dihargai oleh generasi masa kini serta akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular