editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ikon global muzik dancehall, Sean Paul, menggegarkan pentas Idea Live Arena Jumaat malam yang lalu dalam satu persembahan yang penuh bertenaga dan memukau, menandakan kemunculan semula beliau di Malaysia selepas tujuh tahun.
Dengan kehadiran lebih 5,000 peminat setia, konsert terbabit disifatkan sebagai antara acara muzik paling bersejarah di Malaysia bagi tahun 2025.
Dianjurkan oleh Epic Elation dengan sokongan Sound Innovations, Spike Productions dan LFG Entertainment, konsert yang dinanti-nantikan ini membuktikan mengapa Sean Paul masih kekal relevan dan berpengaruh dalam industri muzik antarabangsa.
Dengan persembahan lebih daripada 27 lagu popular, termasuk lagu-lagu malar segar seperti Get Busy, Temperature, dan Like Glue, serta kolaborasi antarabangsa seperti Cheap Thrills dan Rockabye, Sean Paul menyajikan satu malam yang tidak akan dilupakan oleh peminat.

Beliau turut mempersembahkan single terbaharu berjudul Ginger, yang mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin.
Setiap lagu yang dipersembahkan disambut dengan laungan bersama peminat, tangan di udara dan suasana yang begitu elektrik.
Penonton kelihatan menari dan menyanyi dari lagu pembukaan sehingga ke penghujung persembahan.
Tenaga yang ditampilkan oleh Sean Paul tidak pernah surut membuktikan statusnya sebagai penghibur kelas dunia.

“Malaysia kasih sayang kamu semua memang luar biasa. Kamu semua memang gempak. Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini energinya luar biasa,” kata Sean Paul penuh semangat ketika berinteraksi dengan penonton di tengah persembahan.
Suasana di arena bertukar menjadi pesta tarian yang meriah, di mana setiap rentak dan irama membawa peminat mengimbas semula detik-detik kegemilangan muzik dancehall dan pop global yang pernah mendominasi carta dunia.
Penganjur, Epic Elation, turut meluahkan rasa teruja dan terima kasih atas sambutan luar biasa daripada peminat.

“Melihat lebih 5,000 peminat menyanyi bersama dalam satu suara adalah momen yang sungguh menakjubkan.
“Sean Paul benar-benar memberikan persembahan bertaraf dunia, dan malam ini akan dikenang sebagai antara kemuncak dalam kalendar konsert Malaysia 2025,” menurut kenyataan mereka.
Kehadiran Sean Paul bukan sahaja menghidupkan kembali nostalgia peminat era 2000-an, malah turut menghubungkan generasi baharu dengan kuasa muzik rentak Caribbean yang membentuk budaya pop dunia.

Konsert ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi hiburan utama di rantau ini.