28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, October 13, 2025

Konsert pentas RadjaWali gegar Malaysia Januari 2026: Dua legenda muzik Indonesia bersatu di Idea Live Arena

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tahun 2026 bakal membuka tirai dengan gemuruh irama Nusantara apabila dua kumpulan muzik ikonik Indonesia, Radja dan Wali, bakal bergabung tenaga dalam sebuah konsert berskala besar bertajuk “Pentas RadjaWali Live in Malaysia”.

Konsert istimewa ini dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya dan dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan oleh peminat muzik serantau.

Gabungan dua nama besar ini membentuk satu jenama baharu yang cukup simbolik “RadjaWali” bukan sekadar mudah disebut, tetapi turut membawa makna mendalam tentang penyatuan dua kuasa besar muzik pop dan rock melayu dari Indonesia.

Keduanya telah mencipta pelbagai lagu hits yang bukan sahaja mendominasi carta muzik tempatan, malah mencipta kenangan manis buat peminat di Malaysia.

Dalam konsert ini, peminat boleh menantikan persembahan penuh emosi dan bertenaga daripada Radja yang akan mendendangkan lagu-lagu malar segar seperti “Jujur”, “Tulus”, “Cinderella” dan “Bulan” karya yang telah menjadikan nama mereka sinonim dengan era kegemilangan muzik pop rock Indonesia.

Tidak ketinggalan, kumpulan Wali juga akan menghangatkan pentas dengan rangkaian lagu popular seperti “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, “Doaku Untukmu Sayang”, “Yank”, dan “Tomat (Tobat Maksiat)” lagu-lagu yang bukan sahaja menghibur, tetapi turut menyampaikan mesej positif kepada pendengar.

Radja, yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, terdiri daripada Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass), dan Seno Aji Wibowo (dram).

Kumpulan ini tidak asing lagi bagi peminat muzik Malaysia. Mereka menyatakan rasa teruja untuk kembali beraksi di pentas tempatan.

“Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini.

“Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula di Malaysia. Kami janji akan berikan persembahan terbaik buat semua yang hadir,” kata Radja penuh semangat.

Sementara itu, kumpulan Wali yang telah menempa nama sejak 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, terdiri daripada Faank (vokalis utama), Apoy (gitar utama & komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram).

Muzik mereka yang berteraskan pop, pop rock, pop religi dan pop melayu menjadikan mereka antara kumpulan paling diminati di Asia Tenggara.

“Syukur Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami sentiasa dirindui oleh peminat di sini begitu juga kami yang merindui sambutan mesra dan juadah enak di Malaysia.

“Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan persembahan berbeza daripada sebelumnya,” kata Wali.

Konsert ini dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama.

Ia dijangka menarik ribuan peminat muzik dari seluruh Malaysia serta negara jiran yang mahu menyaksikan dua legenda Indonesia berkongsi satu pentas.

Tiket-tiket untuk Pentas RadjaWali Live in Malaysia telah mula dijual menerusi platform Fantopia.io dan turut ditawarkan dengan kemudahan pembayaran melalui ShopeePay untuk pengalaman pembelian yang lebih mudah dan cepat.

Dengan gabungan nostalgia, muzik bertenaga dan persembahan pentas yang dijanjikan luar biasa, “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” bukan sekadar konsert, tetapi satu peristiwa budaya yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam landskap hiburan Malaysia.

Antara kategori tiket yang ditawarkan termasuk:

  • VIP – RM977
  • RW2 – RM477
  • RW3 – RM277
  • RW4 – RM177
  • RW5 & RW6 – RM477
  • RW7 – RM377
ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular