editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam menghadapi era komunikasi yang pantas dan tidak menentu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil menerajui usaha memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi organisasi menerusi penganjuran Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED 2025), yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program anjuran Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI itu menghimpunkan pakar media, pengamal komunikasi serta pemimpin institusi bagi membincangkan pendekatan strategik dalam menangani krisis yang berpotensi menjejaskan reputasi sesebuah organisasi, khususnya institusi pendidikan tinggi.
Mengetengahkan tema pengurusan krisis sebagai peluang pembinaan semula, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam ucaptamanya yang bertajuk “Pengurusan Krisis: Tragedi atau Inspirasi”, di mana setiap krisis bukan semata-mata cabaran, sebaliknya peluang berharga untuk melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam organisasi.
“Krisis adalah ujian terhadap kepimpinan dan keutuhan nilai sesebuah organisasi. Jika diurus dengan penuh bijaksana, krisis bukan sahaja dapat menstabilkan keadaan, tetapi turut membuka ruang membina kekuatan baharu yang lebih mampan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan menyusun naratif yang tepat, telus dan berpaksikan integriti dalam komunikasi semasa krisis bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat.

Keupayaan menyampaikan maklumat dengan berhemah, jelasnya, adalah kunci utama dalam membentuk persepsi awam dan mengekang penularan maklumat tidak tepat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril, menyifatkan SiSMED 2025 sebagai inisiatif penting dalam menyemai budaya kesiapsiagaan komunikasi dalam kalangan warga kerja dan pengurusan organisasi.
“Dalam landskap media hari ini yang serba pantas dan tidak menentu, organisasi memerlukan strategi komunikasi krisis yang tersusun dan berpaksikan fakta bagi memastikan mesej yang disampaikan kekal konsisten dan diyakini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran simposium ini memberi ruang kepada pemimpin dan pegawai komunikasi untuk menyedari bahawa setiap krisis membawa potensi pembelajaran dan inovasi yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh reputasi serta meningkatkan kepercayaan awam terhadap organisasi.

SiSMED 2025 turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan penceramah dan tokoh media berpengalaman, termasuk pengacara TV Bernama, Zahan Rashid; Pengarah Warta Hidup, Ali Imran Mohd Noordin; Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Dr. Ainol Amriz Ismail; Editor Berita Utama Digital dan TV, Azwaliza Azman; Personaliti RTM, Andy Reza Rohadian; dan Koresponden TV3 yang juga wakil Bilik Berita Media Prima Perak, Kumaran Rajamoney.
Melalui sesi pembentangan, forum dan diskusi interaktif, peserta simposium berpeluang mendalami pendekatan terbaik dalam pengurusan naratif, kawalan reputasi, serta penggunaan teknologi media dalam mendepani cabaran krisis yang semakin kompleks hari ini.
Dengan penganjuran SiSMED 2025, UPSI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, tetapi juga peneraju dalam membina wacana strategik komunikasi di peringkat nasional.