editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha menerajui transformasi digital yang menyeluruh, CelcomDigi Berhad melancarkan aplikasi mudah alih terbaharunya, Aplikasi CelcomDigi, yang menyatukan ciri terbaik daripada dua aplikasi terdahulu Celcom Life dan MyDigi ke dalam satu platform tunggal yang lebih pintar, selamat dan mesra pengguna.
Pelancaran aplikasi ini menandakan satu pencapaian penting dalam agenda penyatuan dan transformasi digital CelcomDigi pasca penggabungan dua jenama telekomunikasi terbesar negara.
Aplikasi CelcomDigi bukan sekadar platform pengurusan akaun pelanggan, tetapi dibangunkan sebagai pusat kawalan gaya hidup digital rakyat Malaysia, memberikan akses mudah kepada pelbagai perkhidmatan dan ciri yang diperibadikan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, aplikasi baharu ini dibina sepenuhnya berdasarkan pendekatan berorientasikan pelanggan dengan memperkenalkan ciri-ciri terkini, dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan pengalaman pengguna yang selamat, lancar dan diperibadikan.

“Ini adalah komitmen berterusan kami untuk meletakkan pelanggan di hadapan. Aplikasi ini menggabungkan elemen terbaik dari kedua-dua dunia celcom dan digi dan membawa semuanya ke tapak tangan pengguna.
“Ia mengubah cara kami berhubung dengan pelanggan dan menjadi tulang belakang kepada interaksi serta transaksi digital masa hadapan,” katanya.
Dibangunkan hasil maklum balas daripada lebih 10 juta pelanggan dan ditambah baik menerusi ujian bersama 100,000 penguji beta, Aplikasi CelcomDigi memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Keselesaan Harian, Gaya Hidup Digital Disiap Bina dan Mencipta Detik Gembira.
Melalui antara muka yang intuitif dan mudah digunakan, pelanggan kini boleh mengurus pelbagai talian dan perkhidmatan dalam satu aplikasi, menikmati fungsi auto-reload bagi pengguna prabayar dan mengakses perkhidmatan tambah nilai seperti penstriman Disney+, Viu, serta pelan roaming antarabangsa yang boleh diaktifkan sejurus tiba di destinasi.

Menyedari peningkatan risiko penipuan dalam talian, CelcomDigi memperkenalkan ciri keselamatan yang lebih menyeluruh dalam aplikasi ini.
Pengguna boleh mengakses laman keselamatan khas, membuat laporan scam secara terus, dan melanggan pelan keselamatan digital seperti MobileSHIELD, yang menawarkan perlindungan daripada aplikasi hasad, pencurian data dan ancaman siber hanya dengan RM4 sebulan.
Inisiatif keselamatan digital lain termasuk WebSHIELD, e-Sim, dan Private Sim, semuanya direka bagi memastikan pengguna dapat menikmati sambungan internet yang lebih selamat dan terlindung.

Untuk menambah nilai kepada pelanggan, aplikasi ini juga hadir dengan pelbagai elemen interaktif seperti Daily Streak, cabaran harian untuk ganjaran menarik, 3-2-1 Surprise yang menawarkan kejutan mingguan, serta bantuan sentiasa aktif melalui sokongan AI yang dinamakan AI-RA.
Bagi menjadikan setiap pengalaman lebih peribadi, ciri For You akan menampilkan tawaran dan cadangan yang disesuaikan berdasarkan corak penggunaan dan minat individu, menjadikan interaksi dengan aplikasi lebih relevan dan bermakna.
Sebagai meraikan pelancaran rasmi aplikasi ini, CelcomDigi menawarkan promosi eksklusif termasuk:
- 100GB data hanya RM1 – khas untuk 1 juta pelanggan pertama
- Langganan penstriman video pada kadar istimewa: Disney+ Basic RM12.90, Premium RM27.90, Viu RM3.90
- Perkhidmatan perantauan dan panggilan IDD percuma selama 12 bulan untuk pelanggan pascabayar terpilih
Aplikasi baharu ini boleh dimuat turun sekarang dan bersedia menjadi pusat pengalaman digital utama untuk lebih 20 juta pelanggan CelcomDigi di seluruh negara.
Dengan pendekatan inovatif ini, CelcomDigi terus menunjukkan komitmennya dalam memperkasakan rakyat Malaysia menerusi kesalinghubungan digital yang lebih selamat, diperibadikan dan penuh ganjaran sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi dan penyedia rangkaian terpantas serta terluas di negara ini.