editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya dalam sejarah penyiaran Islam negara, TV AlHijrah tampil sebagai pelopor kepada pelaksanaan Wakaf Media apabila memeterai Perjanjian Kerjasama Wakaf Tunai bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), sekaligus memperkukuh peranan media Islam dalam menyampaikan dakwah yang berterusan dan bermanfaat kepada ummah.
Dimeterai dengan semangat “Wakaf Anda, Dakwah Kami”, kolaborasi strategik ini membuka lembaran baharu kepada masyarakat untuk menyertai amal jariah secara lebih mudah dan berstruktur, khususnya melalui sumbangan wakaf tunai yang akan digunakan bagi membiayai kandungan-kandungan dakwah di platform Alhijrah Media Corporation.
Kerjasama ini bukan sekadar simbolik, malah membawa maksud lebih besar dalam konteks pembangunan masyarakat Islam melalui medium penyiaran.
Ia turut memperlihatkan komitmen TV AlHijrah dalam melaksanakan peranan sebagai agen transformasi sosial dan penyebar nilai-nilai murni menerusi pendekatan media yang kontemporari dan berimpak tinggi.
Dengan termeterainya perjanjian ini, TV AlHijrah secara rasmi menjadi media penyiaran Islam pertama di Malaysia yang menjadikan wakaf tunai sebagai teras agenda penyiarannya tidak hanya sebagai kempen kesedaran tetapi melalui pelaksanaan program-program khusus yang memberi kesan berpanjangan kepada masyarakat.

Penonton kini berpeluang menyertai usaha ini dengan cara yang amat mudah hanya perlu mengimbas kod QR yang dipaparkan di kaca televisyen atau platform digital TV AlHijrah, dan terus menyumbang kepada dana wakaf.
Dana ini kemudiannya akan digunakan bagi menyokong penerbitan rancangan dakwah utama seperti Quran@114 dan Hadith@114, menjadikan setiap sumbangan wakaf sebagai pemangkin kepada penghasilan kandungan yang bermanfaat, bernilai dan memberi pulangan pahala berterusan kepada penyumbang.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, kolaborasi ini adalah satu pendekatan baharu yang menjawab keperluan masyarakat moden yang mahu berbuat kebaikan, tetapi memerlukan saluran yang diyakini.
“Kerjasama ini adalah titik tolak penting untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang beramal jariah melalui medium penyiaran.
“Kami percaya wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi satu ibadah yang mengikat hati kita dengan Allah dan meninggalkan manfaat kepada generasi seterusnya,” katanya.

Namanzee berkata, TV AlHijrah melihat wakaf tunai sebagai satu peluang kepada umat Islam untuk melibatkan diri dalam sedekah berpanjangan yang tidak akan terputus ganjarannya, walaupun sumbangan yang diberikan adalah kecil.
“Jika kita boleh melazimi sedekah harian, maka wakaf tunai adalah bentuk sedekah jariah yang membina sesuatu lebih besar untuk agama, bangsa dan negara. Inilah peluang untuk kita berkongsi walaupun sedikit, demi manfaat Bersama,” katanya.
Yayasan Wakaf Malaysia pula yakin bahawa pelaksanaan wakaf media ini mampu menjadi salah satu tonggak kepada pengukuhan ekonomi umat Islam, di samping memperluas budaya memberi dan menyalurkan keberkatan kepada masyarakat umum.

Dengan misi menyampaikan kandungan dakwah berkualiti dan mesej Islam yang menyegarkan, TV AlHijrah bertekad untuk terus menjadi medium penyiaran yang mendidik, membimbing dan menghidupkan dakwah dalam bentuk yang relevan dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.