27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

Junior Innovathon 2025 cetus gelombang inovasi murid sekolah seluruh negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Arena inovasi negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila program realiti pendidikan berteraskan inovasi, Junior Innovathon 2025, dilancarkan.

Dengan tema “Idea Luar Biasa, Inovasi Hebat”, program ini memberi ruang kepada generasi muda terdiri daripada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, kolej vokasional, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta sekolah persendirian untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka dalam bidang inovasi dan kreativiti.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, yang hadir mewakili Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Program Junior Innovathon adalah hasil usaha sama empat kementerian utama negara iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan, serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ia bukan sahaja memperkasakan bakat muda, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam melahirkan generasi inovator yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Sebagai stesen penyiar rasmi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah melaksanakan proses pemilihan awal bermula dari 3 Julai hingga 8 Ogos 2025.

Dalam tempoh itu, sebanyak 2,107 penyertaan telah diterima secara dalam talian. Setelah menjalani saringan awal, 533 penyertaan layak ke sesi uji bakat yang diadakan di 14 lokasi seluruh negara dari 2 hingga 12 September 2025.

Daripada jumlah berkenaan, 50 projek inovasi terbaik telah dipilih untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Ini membabitkan 25 kumpulan dari sekolah rendah dan 25 kumpulan dari sekolah menengah, yang akan bersaing dalam lima episod separuh akhir yang dirakam di Angkasapuri.

Johan dari setiap kategori akan melangkah ke episod akhir iaitu episod ke-6, yang akan disiarkan secara langsung.

Bagi memantapkan penyampaian idea dan keyakinan peserta, mereka akan dibimbing oleh Datin Marlia Musa, yang bertindak sebagai jurulatih persembahan.

Pengendalian rancangan pula akan diketuai oleh Aliff Satar selaku pengacara utama, dibantu oleh Sangeetha Krishnasamy yang mengendalikan segmen belakang tabir (backstage).

Menambahkan lagi keterujaan, pemenang utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun SSPN, selari dengan objektif program untuk menggalakkan simpanan pendidikan dalam kalangan pelajar.

Program Junior Innovathon akan mula bersiaran di TV1 dan RTMKlik setiap Ahad jam 9 malam bermula 12 Oktober 2025, dengan kemuncak program iaitu episod akhir akan berlangsung secara langsung pada 16 November 2025.

Junior Innovathon 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform berimpak tinggi yang membuktikan bahawa inovasi bukan hanya milik golongan dewasa, tetapi juga anak-anak muda yang berani mencabar kebiasaan demi masa depan yang lebih cemerlang.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular