27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

Cat Farish bangkit dengan alter ego ‘Si Penghulu’ dalam single baharu berjudul ‘Jandanyer Yeah Yeah’ 

editormaxinfo@gmail.com 

KUALA LUMPUR – Nama Cat Farish tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air sebagai penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop Malaysia.  

Kini, beliau kembali mencuri perhatian dengan kelahiran sebuah alter ego yang diberi nama Si Penghulu, menerusi pelancaran single terbarunya yang penuh warna dan keunikan, berjudul Jandanyer Yeah Yeah

Lagu ini bukan sekadar percubaan untuk bereksperimen dengan identiti baharu, tetapi satu bentuk ekspresi seni yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta nuansa budaya dan loghat negeri Perak, sekaligus mencipta satu dimensi baharu dalam karya muzik tempatan. 

Ditulis oleh Cat Farish bersama komposer Illegal, lagu ini dirakam sepenuhnya di Platinum Studio, Damansara Perdana, dan diterbit serta diedarkan oleh syarikat rakaman tersohor, Luncai Emas Sdn Bhd.  

Apa yang menjadikan lagu ini lebih istimewa adalah mesej yang dibawa satu penghormatan buat wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan dan keanggunan selepas melalui fasa perpisahan. 

“Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” kata Cat Farish ketika ditanya tentang inspirasi di sebalik karya ini. 

Melalui gaya penyampaian bersahaja dengan suntikan humor berlapik, Jandanyer Yeah Yeah menampilkan naratif tentang transformasi wanita selepas perceraian bagaimana mereka bukan sahaja kembali berdiri, malah menjadi rebutan kerana semangat dan keperibadian yang lebih kuat. 

Kemunculan watak Si Penghulu sebenarnya bermula sewaktu sesi kolaborasi bersama Malique dalam lagu OK.  

Dari situ, watak ini terus dikembangkan sebagai satu platform untuk Cat Farish menyampaikan karya muzik yang sarat dengan identiti tempatan dari loghat Perak, gaya bahasa kampung, hingga ke cerita rakyat moden yang dekat di hati pendengar. 

Si Penghulu bukan sekadar satu watak, tetapi simbol kepada kebangkitan genre urban rakyat, iaitu gabungan antara hip hop kontemporari dengan akar budaya tempatan.  

Di bawah label Luncai Emas, Si Penghulu kini tampil sebagai suara baharu dari “Kampung Sri Kintadi” tempat fiksyen yang mewakili wajah Malaysia hari ini yang moden, namun tidak melupakan asal usul. 

Walaupun rakaman lagu disempurnakan baru-baru ini, proses penghasilan lagu ini sebenarnya telah memakan masa lebih dua tahun.  

Cat Farish berkongsi bahawa proses mendapatkan lirik yang tepat dan penyampaian yang “kena pada tempatnya” mengambil masa yang panjang dan penuh pertimbangan kreatif. 

Menariknya, sepanjang penghasilan lagu ini, beliau turut mendapat dorongan dan inspirasi daripada isterinya, Shikin Maembong, yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan kreatif projek ini.  

Pasangan ini turut memainkan peranan penting dalam membentuk elemen emosi dan semangat yang tersisip dalam setiap bait lirik. 

Single Jandanyer Yeah Yeah telahpun dilancarkan secara rasmi sejak 22 Ogos lalu dan boleh dinikmati di semua platform penstriman digital serta saluran YouTube rasmi Luncai Emas.  

Pelancaran ini juga menandakan permulaan baharu bagi Cat Farish dalam menjelajahi sisi kreatifnya melalui alter ego Si Penghulu. 

Dengan mesej yang kuat, gaya yang unik dan pendekatan muzik yang menyegarkan, lagu ini diharap akan mendapat sambutan hangat daripada para pendengar serta liputan positif daripada semua. 

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular