editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan penerbitan yang mengetengahkan 13 tokoh wanita terkemuka negara dalam sebuah dokumentari khas bertajuk “Aspirasi Untuk Inspirasi”.
Dokumentari ini menjadi wadah istimewa dalam meraikan pencapaian luar biasa wanita Malaysia dari pelbagai latar belakang dan etnik, yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara, sekali gus mengangkat martabat wanita ke tahap membanggakan.
Menariknya, setiap episod dokumentari ini menyorot perjalanan kehidupan dan kejayaan tokoh wanita berprofil tinggi seperti ahli akademik, atlet, selebriti, pakar ekonomi, penggiat seni, ahli perniagaan, serta aktivis NGO.
Masing-masing bukan sahaja memberi sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat Malaysia, khususnya kaum wanita.
“Aspirasi Untuk Inspirasi” akan mula bersiaran bermula 6 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Rabu, jam 12.30 tengah hari melalui saluran Okey dan RTMKlik.

Antara tokoh wanita hebat yang dipaparkan ialah Tan Sri Dr. Salma Ismail, wanita pertama Malaysia yang bergelar doktor perubatan dan membuka klinik milik bumiputera pertama.
Sumbangannya kepada dunia perubatan meletakkan beliau sebagai ikon perjuangan wanita dalam bidang kesihatan sejak tahun 1949.
Turut menjadi sorotan ialah Lt. Kol. Emilia Kamaruddin, juruterbang pesawat pejuang wanita pertama negara yang juga merupakan wanita pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia yang dilantik sebagai jurulatih penerbangan.
Kecekapan beliau dalam mengendalikan pesawat canggih seperti Skyhawk dan Hawk menjadikan namanya sebaris dengan tokoh-tokoh ketenteraan dunia.
Dalam bidang kehakiman, dokumentari ini menampilkan Tun Dato’ Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat, wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam sistem perundangan Malaysia, beliau mencipta sejarah dan menjadi teladan dalam memartabatkan keadilan serta integriti badan kehakiman.

Dari dunia seni pula, penonton akan dibawa menelusuri perjalanan Dato’ Sri Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara yang telah meraih lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa, termasuk pengiktirafan sebagai Biduanita Negara pada tahun 2024.
Dokumentari ini turut memaparkan kisah Datuk Habsah Hassan, penulis lirik prolifik yang menghasilkan lebih 1,000 karya dan terus aktif menyumbang dalam bidang seni tanah air.
Tan Sri Michelle Yeoh, pelakon kebanggaan negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, turut dipaparkan.
Dari pentas Miss Malaysia World ke layar perak Hollywood, kejayaan beliau memenangi Anugerah Oscar sebagai Pelakon Wanita Terbaik meletakkan namanya dalam sejarah sebagai wanita Asia pertama menerima anugerah berprestij itu.
Turut diketengahkan ialah Datuk Fauziah Nawi, figura penting dalam dunia seni lakon Malaysia yang telah menceburi pelbagai cabang hiburan dan pendidikan seni selama hampir lima dekad.

Sumbangan beliau dalam membentuk generasi pelakon baru juga menjadikan beliau antara tokoh seni yang disegani.
Dokumentari ini juga menampilkan beberapa tokoh lain yang tidak kurang hebatnya, antaranya Ngah Mamat atau Mek Nab, tokoh kraf negara yang diiktiraf oleh kerajaan; Laksamana Pertama Zulinda Ramly, wanita pertama memegang jawatan tertinggi dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Profesor Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, ahli arkeologi pertama negara yang turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Antara episod yang paling dinanti juga adalah paparan tentang Puan Sri Tiara Jacquelina, tokoh yang mengangkat nilai seni filem dan teater tempatan ke tahap antarabangsa melalui produksi seperti Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan Ola Bola The Musical.
Turut dimuatkan dalam dokumentari ini ialah kisah Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain, yang memainkan peranan penting dalam perjuangan bahasa Melayu sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1958.
Beliau adalah antara tokoh wanita terawal memperjuangkan pendidikan dan bahasa di tanah air.

Sebagai penutup yang penuh bermakna, dokumentari ini turut mengenang Puan Sri Saloma, primadona seni suara yang meninggalkan legasi luar biasa dengan lebih 500 lagu sepanjang hayatnya.
Beliau adalah penerima anugerah Biduanita Negara pertama pada tahun 1978 dan terus dikenang sebagai lagenda seni tanah air.

Dengan penerbitan dokumentari “Aspirasi Untuk Inspirasi”, RTM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menerbitkan kandungan berkualiti tinggi yang bukan sahaja mendidik dan menghibur, malah mengangkat kisah-kisah kejayaan tokoh wanita Malaysia ke persada arus perdana.
Setiap episod diharap mampu menyuntik inspirasi kepada generasi muda, khususnya golongan wanita, untuk terus melangkah ke hadapan dengan semangat dan keyakinan.