27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

Mazleen juara Kilauan Emas 2025: Sejarah tercipta buat peserta wanita 

editormaxinfo@gmail.com 

KUALA LUMPUR – Tirai program realiti popular Kilauan Emas 2025 melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan Mazleen dinobatkan sebagai juara edisi kali ini, sekaligus mencipta sejarah sebagai peserta wanita kedua meraih gelaran tertinggi selepas Gie pada musim-musim terdahulu. 

Dalam pentas akhir yang berlangsung penuh emosi dan sorakan peminat, Mazleen mempamerkan persembahan memukau yang berjaya menambat hati juri dan penonton, sekali gus meraih markah keseluruhan sebanyak 79.44 peratus.  

Persembahannya bukan sahaja memperlihatkan kekuatan vokal, tetapi juga karisma dan ketulenan emosi yang menyentuh hati ramai. 

Tempat naib juara pula menjadi milik Zekrai, yang turut mempamerkan aksi bertenaga dengan markah 78.58 peratus.  

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nawary dengan markah sebanyak 73.12 peratus, diikuti Zanie (72.37%), Ezan (71.40%) dan Majid (70.71%) yang masing-masing berjaya meninggalkan impak tersendiri di pentas akhir. 

Dalam anugerah sampingan yang turut diumumkan, Majid berjaya membawa pulang Anugerah Emas Berkilau Of The Week, sebagai pengiktirafan atas peningkatan dan persembahan konsisten sepanjang minggu.  

Sementara itu, Ezan telah memenangi Cabaran 30 Hari Nestlé Omega Plus Gold, yang menjadi salah satu segmen tumpuan musim ini. 

Kilauan Emas 2025 sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai platform utama mengetengahkan bakat warga emas yang masih unggul dalam industri seni suara.  

Program ini bukan sahaja menjadi pentas untuk mencungkil bakat baharu, malah turut menyemai semangat juang serta memberi inspirasi kepada generasi berusia yang ingin kembali menyerlah dalam dunia hiburan. 

Program ini boleh ditonton secara eksklusif di Astro Prima (Saluran 105) serta secara digital menerusi On Demand, Astro GO dan sooka, memberi akses lebih luas kepada penonton dari pelbagai lapisan masyarakat. 

Dengan kejayaan Mazleen, Kilauan Emas 2025 sekali lagi mengangkat martabat seni suara tanah air sambil membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersinar di persada hiburan negara. 

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular