editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Dalam usaha memperjuangkan kesamarataan dan keterangkuman sosial, FWD Takaful mengukir sejarah tersendiri apabila memperkenalkan Special Med 2.0, pelan perlindungan hospitalisasi pertama di Malaysia yang direka khas untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Inisiatif ini diumumkan sempena Hari Komuniti Inklusif FWD Takaful: Membina Masa Depan yang Menyokong Untuk Semua yang berlangsung di Setia City Mall, Selangor.
Lebih daripada sekadar pelancaran produk baharu, acara ini menandakan satu gerakan sosial yang menyeluruh bertujuan meningkatkan kesedaran, memerangi stigma serta memperluaskan akses kepada perlindungan kewangan dalam kalangan komuniti OKU di seluruh negara.
Dengan lebih 700,000 individu OKU berdaftar di Malaysia, cabaran mendapatkan pelan perlindungan kesihatan masih lagi membelenggu ramai, terutamanya disebabkan syarat kelayakan yang ketat dan kekangan logistik.

Menyedari hakikat ini, FWD Takaful melangkah ke hadapan dengan membawa pendekatan yang berpaksikan empati, nilai kemanusiaan dan keadilan sosial sekali gus mencetuskan perubahan paradigma dalam industri takaful negara.
Ketua Penentuan Harga dan Pembangunan Produk FWD Takaful, Faiz Hafizi Manap berkata, pelan Special Med 2.0 direka bukan hanya untuk memenuhi keperluan, tetapi dibina berdasarkan realiti kehidupan komuniti OKU.
“Kami tahu ramai individu OKU tidak dapat membeli pelan perubatan biasa disebabkan syarat kelayakan yang ketat.
“Mereka menghadapi cabaran seumur hidup, jadi kami mahu reka pelan yang benar-benar sesuai untuk mereka bukan sekadar menyesuaikan produk sedia ada,” katanya.
Pelan ini terbuka kepada pelbagai kategori ketidakupayaan termasuk autisme, masalah pembelajaran, kecacatan penglihatan serta kecacatan pendengaran.

Ia mencerminkan iltizam FWD Takaful untuk menjadikan perlindungan kewangan sebagai hak semua rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap keupayaan.
Selaras dengan hasrat menjadi penyedia takaful digital paling inklusif di negara ini, FWD Takaful turut memperkenalkan proses permohonan sepenuhnya atas talian untuk Special Med 2.0.
Pemohon hanya perlu menjawab beberapa soalan ringkas di laman web rasmi dan akan menerima keputusan kelayakan dalam beberapa minit sahaja tanpa perlu hadir ke cawangan atau bertemu ejen.
“Kami percaya teknologi boleh merapatkan jurang akses. Jika sebelum ini OKU perlu menempuh pelbagai halangan logistik, kini mereka boleh memohon perlindungan dengan mudah, dari mana-mana sahaja,” katanya.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti OKU, malah memperkukuh reputasi FWD Takaful sebagai syarikat takaful yang menggabungkan teknologi tinggi dengan nilai kemanusiaan sejati.
Majlis pelancaran turut mendapat sokongan daripada masyarakat umum, termasuk selebriti tanah air, Amyra Rosli, yang hadir bagi menyatakan solidariti terhadap usaha membina masyarakat lebih inklusif.
Kehadirannya memberi isyarat bahawa isu keterangkuman bukan hanya tanggungjawab syarikat atau kerajaan, tetapi turut menjadi keprihatinan masyarakat keseluruhannya.
Acara di Setia City Mall itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian interaktif, demonstrasi produk serta pameran komuniti memberikan pendedahan yang lebih luas kepada masyarakat tentang pentingnya perlindungan kewangan dalam membina masa depan yang stabil dan terjamin, khususnya bagi golongan OKU.
Walaupun Special Med 2.0 hanya diperkenalkan pada tahun 2024, sambutannya amat memberangsangkan dengan lebih 120 individu OKU telah menyertai pelan ini.
Namun bagi FWD Takaful, kejayaan sebenar bukan diukur melalui angka semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sosial yang dicetuskan.
“Kami tidak mahu hanya dikenali sebagai syarikat yang menjual pelan takaful. Kami mahu menjadi organisasi yang membina masa depan lebih inklusif, di mana setiap orang, tanpa mengira keadaan, mempunyai ruang untuk dilindungi dan berkembang,” kata Faiz lagi.
Bagi FWD Takaful, nilai keterangkuman bukan hanya slogan korporat tetapi menjadi prinsip teras yang memandu setiap strategi dan keputusan perniagaan.

Dalam dunia perniagaan yang sering didorong keuntungan, syarikat ini membuktikan bahawa empati dan tanggungjawab sosial boleh seiring dengan inovasi dan pertumbuhan.
“Inklusif bukan hanya tentang memberi peluang, tetapi memastikan tiada siapa yang tertinggal.
“Kami mahu menjadikan takaful sesuatu yang boleh dicapai dan dirasai oleh semua,” katanya.
Sebagai organisasi yang berpegang kepada nilai “Celebrate Living”, FWD Takaful percaya bahawa setiap kehidupan, tanpa mengira keupayaan, wajar diraikan dan dilindungi.
Melalui produk inovatif seperti Special Med 2.0 serta kempen kesedaran yang berterusan, syarikat ini terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam membina ekosistem perlindungan yang adil, inklusif dan menyeluruh.
“Kami tidak mencipta produk untuk OKU. Kami mencipta produk bersama mereka, kerana mereka juga sebahagian daripada masa depan yang ingin kami bina,” katanya.
Dengan pelancaran Hari Komuniti Inklusif dan pelan Special Med 2.0, FWD Takaful bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam industri takaful tempatan, tetapi turut menyemai harapan dan pengiktirafan kepada komuniti OKU bahawa mereka tidak dilupakan dalam arus pembangunan dan perlindungan masa depan negara.