27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

Madam Mariyah bangkit selepas ujian hidup, bina AURAMARIA sebagai jenama kecantikan pilihan wanita

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Di sebalik setiap kejayaan besar, tersimpan kisah perjuangan yang luar biasa. Itulah yang membentuk siapa Mariyah Yaakob hari ini seorang usahawan wanita berdikari yang kini menerajui jenama kecantikan AURAMARIA, hasil ilham daripada liku-liku hidup yang penuh cabaran dan pengorbanan.

Dilahirkan pada 9 Jun 1976 di Kemboja dan dibesarkan di Malaysia sejak usia empat tahun, Madam Mariyah membawa kisah luar biasa tentang keberanian seorang wanita yang bangkit daripada kesusahan hidup demi membina masa depan untuk dirinya dan keluarganya.

Pendidikan formal beliau hanya setakat Tingkatan Dua, namun itu tidak pernah menjadi penghalang untuk berjaya.

Seawal usia muda, beliau sudah terbiasa dengan dunia perniagaan kecil-kecilan, membantu ibunya menjual kuih dan nasi lemak dari rumah ke rumah.

Minat dan bakat berniaga yang lahir daripada keperitan hidup menjadi asas kepada perjalanan perniagaan beliau.

Ketika remaja, beliau pernah bekerja di kedai pakaian dan kasut dan dari situlah timbul minat mendalam terhadap dunia fesyen dan kecantikan.

Langkah serius beliau dalam perniagaan bermula pada awal 1990-an melalui produk kosmetik SirnaSari.

Dalam usia awal 20-an, beliau berani membuka kiosk sendiri di Komtar Johor dan Plaza Angsana, membuktikan semangat usahawan sudah lama membara dalam dirinya.

Hanya dalam dua hingga tiga tahun, hasil usaha kerasnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya membeli rumah pertama dan membawa ibunya tinggal bersama.

Namun, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah. Madam Mariyah membesar dalam suasana penuh dugaan. Ayahnya, seorang askar, meninggal dunia dalam konflik di Kemboja ketika beliau masih kecil.

Ibunya, Fatimah Mohd Isa, berjuang meredah hutan demi menyelamatkan anak-anak dan membawa mereka ke Malaysia.

Kisah pengorbanan ibu itulah yang menjadi semangat utama beliau hingga ke hari ini.

Dari kosmetik, beliau kemudian menceburi perniagaan fesyen. Pada tahun 2008, beliau menubuhkan jenama Idaman Hawa Collection di Plaza Angsana dan kemudiannya membuka butik I’jaz Laila sekitar 2013–2014.

Penglibatannya dalam pelbagai ekspo besar termasuk di Singapura, membina keyakinan beliau dalam memahami kehendak pelanggan serta strategi pemasaran yang berkesan.

Namun, tidak ada perjalanan yang bebas daripada ujian. Madam Mariyah pernah mengalami kegagalan rumah tangga yang disiarkan secara langsung, menyebabkan tekanan mental yang hampir melumpuhkan semangatnya.

Beliau mengakui pernah melalui fasa anxiety dan depression, bahkan mengasingkan diri selama hampir dua bulan.

Dalam keheningan krisis itu, lahirlah cahaya harapan. Dengan dorongan orang-orang terdekat dan doa yang tidak pernah putus, beliau bangkit semula.

Minyak aura yang diberikan seorang sahabat menjadi titik tolak kebangkitan beliau, dan daripada situ, tercetuslah idea untuk membina jenama AURAMARIA satu gabungan antara aura dan nama beliau sendiri, Mariyah.

AURAMARIA kini beroperasi di BIZHUB Skudai, Johor Bahru di bawah naungan Maria Groups.

Ia bukan sahaja menjadi saluran untuk membantu wanita tampil cantik, malah turut menyuntik keyakinan dan kekuatan diri.

Produk pertamanya, minyak aura, mendapat sambutan hangat. Beliau kemudiannya melancarkan produk kosmetik berkualiti tinggi dan merancang pelbagai rangkaian baharu termasuk minyak wangi dan produk penjagaan kulit.

Jenama AURAMARIA membawa tagline “Impian Seorang Wanita” satu falsafah yang sangat dekat di hati Madam Mariyah.

Baginya, setiap wanita berhak untuk dihargai, disayangi dan tampil dengan penuh keyakinan, tanpa mengira latar belakang atau sejarah hidup mereka.

Kini, fokus beliau adalah untuk membesarkan AURAMARIA ke pasaran serantau seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Beliau juga sedang merancang untuk membuka ibu pejabat eksklusif bagi jenama ini serta melahirkan lebih ramai pengedar dan ejen sah yang boleh sama-sama membina kejayaan.

Status beliau sebagai seorang usahawan, ibu dan influencer kini membawa misi yang lebih besar menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Walaupun pernah dijenamakan secara sinis sebagai “Makcik Kemboja” dalam pelbagai kontroversi, beliau kini memilih untuk dikenali dengan nama sebenar Madam Mariyah satu simbol keteguhan, keikhlasan dan kebangkitan.

“Bagi saya, AURAMARIA bukan sekadar produk. Ia adalah lambang kebangkitan seorang wanita.

“Kalau saya boleh bangkit selepas semua yang berlaku, wanita lain pun pasti boleh,” katanya.

Ketika menghampiri usia 50 tahun, Madam Mariyah terus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk bermimpi besar.

Dengan usaha gigih dan semangat yang tidak pernah padam, beliau membawa legasi AURAMARIA bukan sahaja sebagai jenama kecantikan, tetapi sebagai simbol kekuatan wanita moden yang berani melangkah dari bayang-bayang ujian hidup menuju kejayaan yang membanggakan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular