editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) terus memperkukuh peranannya dalam memacu penyelidikan dan inovasi nasional apabila menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2025 (SPK 2025) secara hibrid di Kampus Sultan Azlan Shah.
Bertemakan “Memperkasa Penyelidikan dan Pembangunan Melalui Inovasi dan Integrasi Kecerdasan Buatan (AI)”, seminar ini menghimpunkan ratusan pembentang dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Penganjurannya bukan sahaja memperkasa budaya penyelidikan akademik, malah menandakan keseriusan UPSI dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi dan kecerdasan buatan.
Menurut Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor, pemilihan tema seminar tahun ini adalah amat signifikan dengan landskap pendidikan dan penyelidikan masa kini.

Beliau berkata, teknologi kecerdasan buatan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu keperluan dalam proses memperkayakan ilmu dan menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.
“AI bukan lagi sekadar alat sokongan. Ia kini menjadi pemangkin utama dalam mendorong idea baharu dan mempercepatkan kemajuan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan seminar.
SPK 2025 turut mendapat sokongan padu daripada beberapa rakan strategik termasuk HELP University, Maths Proofread, Spectrum International University College, dan Global Academic Excellence, yang sama-sama berganding bahu dalam menjayakan penganjuran kali ini.
Seminar turut menampilkan tokoh akademik tersohor seperti Naib Canselor HELP University, Prof Andy Liew Teik Kooi yang menyampaikan ucaptama, di samping sesi perkongsian ilmiah oleh Naib Canselor Hensard University, Prof Dr Dileep Kumar M., Pensyarah Kanan UPSI, Dr Muhamad Hariz Muhamad Adnan, dan Pensyarah Kanan London South Bank University, Dr Arsalan Mujahid Ghouri.

Menurut penganjur, seminar ini menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kolaborasi antara ahli akademik, pelajar pascasiswazah dan pihak industri.
Ia juga memberi ruang kepada pembentang berkongsi dapatan penyelidikan dalam pelbagai bidang utama seperti ekonomi, pengurusan, keusahawanan dan perakaunan, sekali gus memperluas dimensi penyelidikan antara disiplin.
Lebih signifikan, penganjuran SPK 2025 turut menyokong agenda UPSI dalam meningkatkan pencapaian institusi dalam penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA), SETARA dan QS Ranking, serta membantu peserta menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berindeks MyCite terbitan FPE.

Pengarah Program SPK 2025, Prof Madya Ts Dr Kesavan Nallaluthan, menyatakan bahawa seminar ini telah dipromosikan secara meluas termasuk menerusi program khas terbitan RTM bertajuk “AI & SPK2025: Kuasa Baharu Dunia Penyelidikan” yang bersiaran pada 21 September lalu bersama Prof Andy Liew.
SPK 2025 turut mengekalkan keunikan tersendiri dengan membuka peluang penyertaan kepada pelajar pascasiswazah melalui kadar yuran yang berpatutan.
Format pembentangan dan pertandingan inovasi yang lebih interaktif juga menjadikan seminar ini semakin menarik dan inklusif dalam kalangan penyelidik muda serta ahli akademik pelbagai peringkat.
Sejak mula diperkenalkan beberapa tahun lalu, SPK terus mencatatkan sambutan memberangsangkan. Ia bukan sahaja membudayakan penyelidikan dalam kalangan warga akademik tempatan, malah diyakini mampu menjadi pencetus kepada pembangunan penyelidikan berkualiti tinggi di peringkat kebangsaan.