editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Biduanita Negara dan ikon muzik Asia, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencipta satu lagi sejarah dalam perjalanan seni gemilangnya menerusi konsert mega bertajuk “Legacy 30 Siti Nurhaliza” yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert berskala besar ini dianjurkan bersempena sambutan 30 tahun penglibatan Siti Nurhaliza dalam industri muzik, menandakan pencapaian luar biasa beliau sebagai penyanyi, komposer dan simbol warisan seni negara yang dihormati di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sepanjang tiga dekad, nama beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, malah turut dikenali luas di seluruh Asia.
Dengan kapasiti tempat duduk sekitar 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi rasmi konsert bagi memberikan pengalaman menyeluruh yang epik, selesa dan berprestij kepada para peminat dari dalam dan luar negara.

Lokasi ini juga menjadi lambang kejayaan serta penghormatan terhadap sumbangan besar Siti Nurhaliza dalam memartabatkan seni suara dan budaya Malaysia ke pentas dunia.
Menurut penganjur konsert, SN Legacy Sdn. Bhd, pemilihan stadium ikonik ini bukan bertujuan untuk memecahkan rekod kehadiran terdahulu seperti Konsert Fantasia Tour 2004 yang mencatat kehadiran lebih 70,000 penonton tetapi lebih kepada usaha memberikan pengalaman konsert yang penuh makna dan berkualiti tinggi.
“Legacy 30 bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun dalam industri ini,” kata Siti Nurhaliza.
Tambahnya, konsert ini juga adalah ruang untuk menghargai sokongan peminat yang telah setia bersamanya sejak awal karier, serta sebagai peluang untuk mengimbau kembali karya-karya yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air.

Sejak debut beliau pada 1996, Siti Nurhaliza telah menghasilkan lebih 20 album dan ratusan lagu yang menjadi siulan ramai.
Lebih istimewa, penganjuran Konsert Legacy 30 bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikannya antara acara tumpuan yang dijangka menarik kehadiran pelancong dan peminat muzik dari pelbagai negara.
Konsert ini bukan sahaja meraikan seni suara tetapi juga menjadi medium penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan khas oleh CUCKOO selaku penaja utama dan disokong oleh AFFIN Bank sebagai penganjur utama.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan setia, satu Pra-Jualan Eksklusif AFFIN akan dibuka bermula 1 Oktober 2025 jam 12 tengah hari hingga 3 Oktober 2025 jam 12 tengah hari, khusus untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN.
Manakala jualan tiket kepada orang ramai akan bermula pada 3 Oktober 2025 jam 3 petang, menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.
Harga tiket ditawarkan serendah RM69 hingga RM1,599, dengan pelbagai kategori tempat duduk bagi memenuhi keselesaan dan pilihan penonton.
“Legacy 30” dijangka menjadi antara persembahan terbesar dan paling bersejarah dalam karier Siti Nurhaliza dekad ini bukan hanya sebagai konsert hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai manifestasi rasa syukur, cinta dan penghargaan beliau kepada peminat yang telah menjadi nadi kekuatan sepanjang perjalanan seninya.